comscore
Tumpuan :
Dunia

Menteri Luar Indonesia suarakan kebimbangan mengenai krisis penjagaan kesihatan di Gaza

FOTO: Reuters

JAKARTA: Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi menyuarakan kebimbangan yang mendalam terhadap keadaan penjagaan kesihatan di Gaza berdasarkan situasi membimbangkan yang dihadapi oleh penduduk.

Beliau berkata daripada 36 hospital di wilayah itu, hanya 13 yang masih beroperasi, sekali gus menyebabkan bebanan hospital meningkat dua hingga tiga kali ganda kapasiti yang sepatutnya.

Malangnya, kira-kira 71 peratus kemudahan penjagaan kesihatan tidak dapat berfungsi berikutan kehilangan ratusan pekerja perubatan sejak permulaan serangan Israel ke atas Gaza.

“Keadaan ini diburukkan lagi oleh kekurangan bekalan perubatan yang kritikal, merangkumi peralatan, ubat-ubatan serta sumber penting seperti makanan, air bersih, bahan api dan elektrik,” katanya dalam satu kenyataan.

Retno menyatakan kebimbangan ini selepas menyertai mesyuarat Lembaga Eksekutif Khas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Geneva, Switzerland pada Ahad, yang memberi tumpuan kepada Gaza.

Beliau menegaskan bahawa WHO telah melaporkan lonjakan penyakit berjangkit dengan angka terkini menunjukkan terdapat 130,000 kes jangkitan pernafasan akut, lebih 94,000 kes cirit-birit dan lebih 2,700 kes cacar air.

“Gaza kini dikepung. Israel telah mengubah situasi Gaza bagaikan neraka. Angka kematian terus meningkat,” tegasnya.

Retno merayu kepada masyarakat antarabangsa supaya mengambil tindakan pantas dan berkesan untuk menangani krisis penjagaan kesihatan yang semakin buruk di Gaza.

Beliau juga menekankan bahawa arahan pasukan pertahanan Israel supaya bekalan perubatan dari Khan Younis dipindahkan ke gudang yang lebih kecil di Rafah, merupakan pelanggaran serius undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.

“Indonesia menggesa Israel menghormati hak kesihatan dan akses komuniti Gaza kepada kemudahan penjagaan kesihatan,” katanya.

Indonesia telah menghantar empat kumpulan bantuan kemanusiaan dan akan menghantar sebuah kapal hospital ke Gaza untuk membantu mereka yang cedera dan sakit. – BERNAMA

Loading...
Terkini