comscore
Tumpuan :
Dunia

Mesir bebaskan 30 aktivis, beri pengampunan besar-besaran

Foto: AP

KAHERAH: Mesir mengumumkan pembebasan 30 aktivis politik yang dipenjarakan, dalam siri pembebasan tahanan secara besar-besaran terbaharu, ketika penelitian antarabangsa yang semakin intensif terhadap rekod hak asasi manusia negara itu.

Setakat ini, belum diketahui maklumat lanjut mengenai identiti aktivis berkenaan dan tidak dapat disahkan berapa ramai daripada mereka sudah dibebaskan.

Pengumuman itu dibuat oleh Ahli Jawatankuasa Pengampunan Presiden Mesir, Tarik el-Awady.

Beliau berkata, 30 aktivis itu berada dalam tahanan pra-perbicaraan dan berdepan tuduhan berkaitan ‘pandangan’ mereka.

El-Awady kemudiannya menyiarkan foto, menunjukkan beberapa tahanan yang dibebaskan sedang memeluk ahli keluarga dan rakan mereka.

Sejak 2013, kerajaan Presiden Mesir, Abdel-Fattah el-Sissi, bertindak keras terhadap mereka yang menentang dan lantang mengkritik, memenjarakan ribuan orang, mengharamkan protes dan memantau hantaran di media sosial.

Pada 2019, Pemerhati Hak Asasi Manusia menganggarkan seramai 60,000 tahanan politik dipenjarakan di penjara di Mesir, kebanyakannya tanpa perbicaraan.

Isu itu menjadi tumpuan ketika Mesir menganjurkan sidang kemuncak iklim sedunia, COP27, selama dua minggu pada awal bulan ini.

Dalam tempoh beberapa bulan menjelang sidang kemuncak itu, Mesir berusaha membaikpulih imej antarabangsanya, mengampunkan berpuluh-puluh banduan dan mewujudkan ‘strategi’ baharu untuk menaik taraf hak asasi manusia.

Bagaimanapun, kumpulan hak asasi manusia masih meragui sama ada langkah ini akan diterjemahkan kepada sebarang perubahan yang bersifat kekal.

Amnesty International menyifatkan strategi itu ‘hanya untuk berselindung’ dan digunakan supaya kerajaan asing dan institusi kewangan menyokongnya. – AP

Loading...
Terkini