comscore
Tumpuan :
Dunia

Mesir desak Israel buka semula lintasan darat untuk bantuan Gaza

FOTO: Reuters

KAHERAH: Mesir mendesak Israel membuka semua lintasan darat antara Israel dan Gaza bagi memastikan akses penuh, selamat dan tanpa halangan kepada bantuan kemanusiaan ke wilayah bergolak itu.

Desakan itu disuarakan Menteri Luar Mesir, Sameh Shoukry kepada Sigrid Kaag, Koordinator Kanan Kemanusiaan dan Pembinaan Semula Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Gaza menerusi panggilan telefon.

Diplomat tertinggi Mesir dan pegawai PBB menyentuh mengenai bahaya operasi ketenteraan Israel di Rafah, serta kawalan Israel ke atas bahagian Palestin di lintasan Rafah.

FOTO: Reuters

Mereka juga menekankan keperluan untuk memastikan keadaan selamat bagi bantuan kemanusiaan untuk memasuki lintasan Rafah dan menamatkan operasi ketenteraan di sekitarnya.

Shoukry turut menegaskan kepentingan Israel menghormati dan melindungi pekerja kemanusiaan, tidak menyasarkan ibu pejabat agensi bantuan antarabangsa, serta memastikan akses dan kebebasan pergerakan kru bantuan di Gaza.

Pada 7 Mei, tentera Israel memulakan operasi di Rafah dan mengambil alih kawalan operasi ke atas lintasan Rafah di Gaza.

Sejak itu, lintasan berkenaan disekat untuk pergerakan pengembara dan trak yang membawa bantuan kepada lebih dua juta rakyat Palestin di kawasan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini