
KAHERAH: Mesir menjadi tuan rumah kepada pegawai Israel dan Palestin pada Ahad di bandar peranginan Sharm el-Sheikh dalam usaha yang disokong Amerika Syarikat (AS) dan Jordan bagi menenangkan lonjakan keganasan di Tebing Barat menjelang bulan suci Ramadan.
Pertemuan lima penjuru itu berikutan sidang kemuncak yang dirunding AS di Jordan pada 26 Februari, yang pertama dalam beberapa tahun, dalam menjamin ikrar Israel dan Palestin untuk meredakan kemelut, namun dicabar oleh puak di kedua-dua pihak dan gagal menghentikan keganasan.
Pertemuan di Sharm el-Sheikh bertujuan untuk menyokong dialog antara pihak Palestin dan Israel dalam usaha menghentikan tindakan unilateral dan memecahkan kitaran keganasan yang sedia ada, kata satu kenyataan daripada Kementerian Luar Mesir.
Namun, rundingan damai terhenti sejak 2014 dan rakyat Palestin berkata, perluasan penempatan Yahudi telah menjejaskan peluang sebuah negara yang berdaya maju ditubuhkan.
Pada tahun-tahun sebelumnya, pertempuran meletus di antara polis Israel dan penduduk Palestin di sekitar Masjid Al Aqsa Baitulmaqdis, pada kemuncak Ramadan. – REUTERS