comscore
Tumpuan :
Dunia

Mesir usul gencatan senjata 2 hari di Gaza

FOTO: Reuters

KAHERAH: Mesir mencadangkan gencatan senjata selama dua hari di Gaza dan penukaran tebusan antara Israel dan kumpulan pejuang Hamas.

Presiden Mesir, Abdel Fattah Al-Sisi, dalam satu sidang media bersama Presiden Algeria, Abdelmadjid Tebboune pada Ahad menyatakan dalam tempoh 10 hari selepas pelaksanaan gencatan sementara ini, rundingan akan dilanjutkan bagi mencapai gencatan senjata penuh dan membenarkan bantuan kemanusiaan memasuki kawasan konflik.

“Kami tegaskan bahawa saudara-saudara kita di Gaza berdepan sekatan yang amat teruk hingga ke tahap kebuluran, dan amat penting bantuan kemanusiaan dapat disalurkan secepat mungkin,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa Mesir menolak sebarang usaha pengusiran paksa dari Gaza kerana tindakan ini tidak memanfaatkan perjuangan Palestin.

Mesir, katanya menekankan usaha berterusan untuk menghentikan pertempuran dan melindungi kawasan tersebut walaupun mengalami kemusnahan besar.

Langkah itu diumumkan ketika Mesir dan negara-negara lain berusaha meredakan konflik berpanjangan lebih setahun di Gaza.

Reuters melaporkan, ketika ini rundingan damai sedang dijalankan di Qatar dengan kehadiran pengarah CIA dan agensi perisikan Mossad Israel.

Namun, Israel masih bertegas bahawa perang hanya akan berakhir apabila Hamas dihapuskan sebagai kuasa ketenteraan dan entiti pentadbiran di Gaza.

Sehingga kini, tiada kenyataan lanjut daripada Israel atau Hamas, namun seorang pegawai Palestin yang terlibat dalam rundingan memberitahu Reuters bahawa Hamas berkemungkinan akan mempertimbangkan tawaran baru ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini