comscore
Tumpuan :
Dunia

Mesyuarat Kabinet Singapura dipengerusikan Hsien Loong buat kali terakhir

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong (lima dari kiri), mempengerusikan mesyuarat Kabinet terakhirnya semalam. – Foto AGENSI

SINGAPURA: Republik ini akan berada dalam jagaan yang baik di bawah pasukan Pemimpin Generasi Keempat (4G), kata Perdana Menteri, Lee Hsien Loong, yang mempengerusikan mesyuarat Kabinetnya yang terakhir semalam.

Beliau akan menyerahkan tampuk pimpinan negara kepada timbalannya, Lawrence Wong, dalam tempoh kurang seminggu, pada 15 Mei ini.

“Singapura akan berada dalam jagaan yang baik di bawah pasukan 4G dan saya bersedia menyokong pasukan baru itu dalam usaha mereka untuk memajukan Singapura,” kata Hsien Loong dalam catatan yang dimuat naik ke Facebook semalam.

Beliau berkata, memimpin pasukan Kabinetnya sepanjang dua dekad ‘adalah satu keistimewaan’ dan beliau mengucapkan terima kasih kepada rakan sekerjanya atas sokongan mereka.

“Kami mengadakan mesyuarat Kabinet mingguan tahun demi tahun – walaupun semasa wabak (pandemik COVID-19), di mana kami terpaksa beralih kepada persidangan menerusi video.

“Mesyuarat ini adalah wadah penting untuk membincangkan isu nasional, dasar utama dan perkara yang mempengaruhi semua kehidupan kita.

“Ia adalah satu keistimewaan untuk saya memimpin pasukan Kabinet saya sejak 20 tahun yang lalu,” katanya.

Pada 15 April lalu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan Hsien Loong akan berundur dan Lawrence selaku Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, akan dilantik ke jawatan itu pada 15 Mei ini.

Hsien Loong ialah Perdana Menteri ketiga Singapura, menyandang jawatan itu sejak 12 Ogos 2004.

“Dalam Kabinet, Perdana Menteri adalah ‘primus inter pares’ – bukan bos dengan orang bawahannya, tetapi yang pertama dalam kalangan rakan sekerja yang setaraf.

“Semua berbincang bersama untuk mencari penyelesaian terbaik untuk Singapura. Saya berterima kasih kepada rakan sekerja saya atas sokongan padu mereka,” tambah beliau.

Hsien Loong akan kekal dalam Kabinet dan menggalas jawatan Menteri Kanan susulan pelantikan Lawrence menggantikannya.

“Mulai minggu depan, Perdana Menteri, Lawrence Wong, akan meneraju mesyuarat Kabinet, tetapi saya akan terus menyumbang sebagai Menteri Kanan,” tambah beliau. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini