CALIFORNIA: Syarikat induk Facebook, Meta, diarah menghadapi tuntutan mahkamah oleh negeri-negeri di Amerika Syarikat (AS) yang menuduhnya menyebabkan remaja ketagih guna platform Facebook dan Instagram sehingga mencetuskan masalah mental.
Hakim Persekutuan di California, Yvonne Gonzalez Rogers, turut menolak permohonan Meta untuk membatalkan tuntutan dibuat oleh negeri-negeri dalam dua tuntutan mahkamah berasingan yang difailkan tahun lalu.
Salah satu daripadanya membabitkan lebih daripada 30 negeri termasuk California dan New York, dan satu lagi dibawa oleh Florida.
Bagaimanapun, Rogers menetapkan beberapa had terhadap tuntutan negeri-negeri itu dan bersetuju dengan Meta bahawa undang-undang Persekutuan dikenali sebagai Seksyen 230 yang mengawal platform dalam talian, sebahagiannya melindungi syarikat itu.
Namun, beliau mendapati bahawa negeri-negeri itu mengemukakan butiran lengkap mengenai kenyataan yang didakwa mengelirukan dibuat oleh syarikat itu, untuk meneruskan sebahagian besar kes mereka.
Hakim juga menolak permohonan oleh Meta, TikTok milik ByteDance, YouTube milik Alphabet, dan SnapChat milik Snap untuk membatalkan ‘tuntutan kecederaan peribadi’ oleh plaintif individu memandangkan syarikat itu bukan defendan dalam tuntutan negeri-negeri.
Keputusan itu membuka jalan bagi negeri dan plaintif lain untuk mendapatkan lebih banyak bukti serta berpotensi untuk dibicarakan di mahkamah.
Sementara itu, peguam untuk plaintif ‘tuntutan kecederaan peribadi’, dalam kenyataan bersama, berkata keputusan itu satu ‘kemenangan penting bagi golongan muda di seluruh negara yang terjejas secara negatif kerana bahaya ketagihan platform media sosial.
Sebaliknya, jurucakap Meta berkata syarikatnya tidak bersetuju dengan keseluruhan keputusan itu kerana ia sudah ‘membangunkan banyak alat untuk menyokong ibu bapa dan remaja termasuk Akaun Remaja baharu di Instagram dengan perlindungan tambahan’.
Bagaimanapun, syarikat media sosial lain enggan mengulas lanjut.
Ratusan saman sudah difailkan oleh pelbagai plaintif, menuduh syarikat media sosial merancang algoritma yang menyebabkan ketagihan, kebimbangan, kemurungan dan masalah imej badan dalam kalangan remaja, serta gagal memberi amaran mengenai risiko itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.