comscore
Tumpuan :
Dunia

Misi bantuan gempa Turkiye – Yayasan Amal Malaysia berlepas ke Istanbul pagi ini

Bangunan musnah di Antakya, selatan Turkiye susulan gempa bumi kuat Isnin lalu. – Foto AP

KUALA LUMPUR: Empat sukarelawan Yayasan Amal Malaysia (YAM) dinamakan kumpulan “recce” berlepas ke Istanbul pagi ini bagi menyertai misi bantuan kecemasan gempa bumi Turkiye.

Misi utama kumpulan ‘recce’ ini adalah untuk mendapatkan maklumat awal situasi di ‘ground zero’ bagi menyampaikan bantuan kecemasan lanjut.

Kumpulan sukarelawan yang diketuai Timbalan Presiden dan Ketua Pengurusan Bencana YAM, Jamuliddin Elias akan menggerakkan bantuan kecemasan fasa pertama RM100,000 sebelum menentukan bantuan dan keperluan seterusnya di lokasi bencana.

Jamuliddin berkata bantuan fasa pertama termasuk makanan, khemah, keperluan musim sejuk dan kecemasan bagi mangsa terjejas membabitkan kerjasama NGO tempatan, International Youth Forum.

“Kami akan ke lokasi ‘ground zero’ termasuk di Kahramanmaras di mana pusat gempa bumi 7.8 skala Richter pada Isnin lalu.

“Kita akan sampaikan bantuan kecemasan segera dengan bantuan NGO tempatan,” katanya.

Kumpulan relawan YAM dijangka berada di Turkiye sehingga Khamis depan.

Anggota misi lain ialah Ketua Unit Kemanusiaan YAM, Zulkifli Baharom dan Ketua Relawan YAM, Norazaman Ishak.

Mereka juga dijadualkan menyampaikan bantuan keperluan musim sejuk di kawasan terjejas gempa.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini