comscore
Tumpuan :
Dunia

Misi Kemanusiaan Gaza mungkin terpaksa ditangguh, ada ‘cubaan’ halang usaha bantuan – UNRWA

Foto: Reuters

GENEVA: Agensi pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, (UNRWA), memberi amaran agensi itu mungkin terpaksa menangguhkan misi kemanusiaan di Gaza berikutan percaya ada percubaan menghalang usaha murni terbabit.

Pesuruhjaya Agungnya, Philippe Lazzarini, berkata misi kemanusiaan itu berisiko ditangguhkan adalah kerana kekurangan bahan api ekoran wujud halangan dalam membawa bekalan itu ke Semenanjung Gaza.

Beliau berkata, selain itu, banyak perkhidmatan disediakan UNRWA yang menyokong lebih 800,000 penduduk yang hilang tempat tinggal di Semenanjung Gaza akibat dikepung Israel, ditutup termasuk puluhan telaga air, dua loji air dan stesen pam kumbahan.

 

Lazzarini juga menyifatkan ia sesuatu yang keterlaluan apabila agensi kemanusiaan terpaksa mengemis untuk memperoleh bahan api.

Pada masa sama, Lazzarini berkata, organisasi itu sudah membuat rayuan sejak beberapa minggu lalu untuk mendapatkan akses kepada bahan api, namun ia hanya dibuat untuk kali pertama Rabu lalu, sejak tercetusnya perang Israel dan Palestin, 7 Oktober lalu.

Foto: Reuters

Bahan api berkenaan membabitkan sebanyak 24,000 liter diesel untuk diisi ke dalam lori yang membawa bantuan PBB, namun ia tidak mencukupi dengan keperluan penduduk di Gaza.

Sebelum ini, Israel dilaporkan menghalang kemasukan bahan api import, kerana ia kononnya dikhuatiri digunakan pejuang Hamas bagi tujuan ketenteraan.

Namun menurut Lazzarini, kesan ketiadaan bahan api akan menyebabkan lebih ramai orang awam terkorban, meskipun bukan disebabkan serangan rejim Israel.

Sebelum ini, menurut syarikat telekomunikasi utama Gaza, Paltel dan Jawwal, semua perkhidmatan telekomunikasi di enklaf yang berpenduduk padat, terputus kerana kehabisan seluruh sumber tenaga.

Loading...
Terkini