comscore
Tumpuan :
Dunia

Modi menang penggal ketiga PRU India tapi BJP hilang majoriti dua pertiga

Perdana Menteri India, Narendra Modi, (tengah) disambut meriah ketika tiba di ibu pejabat Parti Bharatiya Janata (BJP) untuk meraikan kemenangan parti itu dalam pilihan raya umum negara itu, di New Delhi, India. – FOTO: Reuters

NEW DELHI: Perdana Menteri India, Narendra Modi, dan parti gabungan politiknya memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) negara itu semalam.

Bagaimanapun, pembangkang mendakwa pengundi negara itu menghantar mesej jelas selepas parti nasionalis Hindu yang dipimpin Modi hilang undi majoriti dua pertiga kerusi Parlimen, untuk kali pertama dalam tempoh sedekad.

Berdasarkan keputusan di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lewat petang semalam, gabungan parti politik yang diterajui oleh Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Modi memenangi majoriti kerusi Parlimen.

Pada PRU kali ini, BJP memenangi 240 kerusi berbanding 303 kerusi pada pilihan raya lalu, bermaksud BJP perlu bergantung kepada rakan-rakan gabungannya untuk meluluskan undang-undang di Parlimen.

Modi, ketika berucap bagi meraikan kemenangan di hadapan orang ramai di New Delhi berkata, India memberi mandat kepada parti dan sekutunya buat kali ketiga berturut-turut

Modi menang penggal ketiga PRU India – FOTO: Reuters

Keputusan itu turut menyaksikan parti pembangkang memperoleh 99 kerusi, meningkat dua kali ganda daripada 52 kerusi pada 2019.

Pemimpin utama pembangkang, Rahul Gandhi, menyifatkan jumlah kerusi diperoleh pihaknya menunjukkan penduduk negara itu tidak lagi mahukan Modi.

“Negara telah berkata kepada Narendra Modi. Kami tidak mahu kamu. Saya yakin rakyat negara ini memberikan tindak balas yang betul,” katanya.

Dengan lebih 99 peratus pengiraan undi selesai, jumlah undi diperoleh BJP adalah 36.6 peratus lebih rendah berbanding PRU lalu.

Ia sekali gus mengangkat semula Modi untuk terus mewakili kawasannya yang dianggap kota suci Hindu, Varanasi, dengan julat 152,300 undi berbanding hampir setengah juta undi lima tahun lalu.

Antara Ahli Parlimen Bebas yang menang pilihan raya itu adalah dua yang sedang menjalani hukuman penjara, masing-masing adalah Sikh Amritpal dan Sheikh Abdul Rashid dari Kashmir yang ditadbir India, selepas ditangkap atas tuduhan membiayai keganasan serta pengubahan wang haram pada 2019.

Jumlah pengundi direkodkan SPR pada PRU kali ini ialah sebanyak 968 juta dan daripada jumlah itu, peratusan keluar mengundi mencapai 66.3 peratus, turun kira-kira satu mata berbanding 67.4 peratus direkodkan pada PRU 2019.

Sebahagian penganalisis menyalahkan peratusan keluar mengundi lebih rendah itu berpunca akibat fenomena gelombang panas membadai seluruh India utara, dengan suhu direkodkan di kawasan itu melebihi 45 darjah Celsius. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini