comscore
Tumpuan :
Dunia

Modi ucap tahniah kepada Presiden baharu Sri Lanka

Presiden Baharu Sri Lanka, Anura Kumara Dissanayake. – FOTO: Reuters

NEW DELHI: Pemimpin Asia Selatan mengucapkan tahniah kepada Anura Kumara Dissanayake atas pemilihannya sebagai presiden baharu Sri Lanka pada Ahad.

Perdana Menteri India Narendra Modi menyatakan hasratnya untuk bekerjasama rapat dengan Sri Lanka bagi mengukuhkan lagi “kerjasama pelbagai bidang antara kedua-dua negara.”

Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif mendoakan kejayaan presiden yang baharu dipilih itu dan berharap dapat bekerjasama dengan Dissanayake untuk mengukuhkan lagi hubungan Pakistan-Sri Lanka.

Presiden Maldives Mohamed Muizzu menyifatkan kemenangan Dissanayake sebagai “luar biasa.”

“Sebagai jiran rapat, saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan anda untuk mengukuhkan lagi persahabatan bersejarah antara Maldives dan Sri Lanka. Semoga anda berjaya dalam peranan baharu anda,” kata Muizzu.

Dissanayake, 55, pemimpin Parti National People’s Power (NPP), sebuah gabungan yang termasuk Janatha Vimukthi Peramuna (JVP) yang berorientasikan Marxist akan menggantikan Ranil Wickremesinghe.

Dissanayake menewaskan pesaing terdekatnya Sajith Premadasa untuk menjadi presiden kesembilan negara kepulauan itu manakala Wickremesinghe berada di tempat ketiga dalam kalangan calon presiden.

Wickremesinghe yang menjadi presiden pada 2022 selepas kejatuhan Gotabaya Rajapaksa susulan protes besar-besaran ketika Sri Lanka berdepan krisis ekonomi terburuk berkata sesuai dengan kehendak rakyat, kepimpinan akan diserahkan kepada presiden baharu.

“Pencapaian ini bukanlah hasil kerja seseorang individu, tetapi usaha kolektif ratusan ribu daripada anda. Komitmen anda telah membawa kita sejauh ini, dan untuk itu, saya amat berterima kasih. Kemenangan ini milik kita semua,” katanya dalam hantaran media sosial selepas kemenangannya. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini