comscore
Tumpuan :
Dunia

Modul terakhir stesen angkasa Tiangong China, berjaya dilancar ke orbit

FOTO: CNS/AFP

BEIJING: China berjaya melancarkan modul terakhir stesen angkasa Tiangong, hari ini, yang diberi nama Mengtian.

Pelancaran Mengtian yang membawa maksud “Memimpikan Syurga” itu antara langkah terbaru program angkasa lepas Beijing.

Stesen angkasa lepas itu adalah satu daripada cita-cita tinggi China dalam program angkasa lepas dan berjaya mendaratkan rover robotik di Marikh dan bulan.

Ia menjadikan China sebagai negara ketiga yang meletakkan manusia di orbit.

Jurugambar dan peminat angkasa lepas menyaksikan pelancaran itu yang berlangsung pada jam 3:27 petang (0727 GMT) dari pantai berdekatan.

Pelancaran itu diisytiharkan sebagai “kejayaan sepenuhnya” oleh Komander Tapak Pelancaran Wenchang, Deng Hongqin,

Berdasarkan data penerbangan dari Long March 5B, roket pembawa dan Pusat Kawalan Penerbangan Aeroangkasa Beijing, modul eksperimen stesen angkasa Mengtian memasuki orbit yang ditetapkan dengan tepat dan keadaan kerja adalah normal.

Mengtian ialah komponen utama ketiga dan terakhir stesen angkasa Tiangong berbentuk T dan membawa sejumlah peralatan sains canggih ke orbit.

Dalam pada itu, Beijing turut merancang untuk melancarkan teleskop angkasa Xuntian tahun depan.

China melabur dengan banyak dalam program angkasa lepas bagi mengejar kuasa besar angkasa lepas seperti Amerika Syarikat dan Russia. – AFP

Loading...
Terkini