
ANKARA : Rusia akan mewujudkan kemudahan penyimpanan senjata nuklear taktikal di negara jiran Belarus.
Presiden Rusia Vladimir Putin dalam wawancara di saluran TV Rossiya-24 berkata Rusia telah pun menyerahkan kompleks Iskander yang boleh dijadikan tempat untuk menyimpan senjata nuklear, lapor Agensi Anadolu.
Menurut Putin, rakan sejawatannya dari Belarus Alexander Lukashenko telah lama membangkitkan isu penempatan senjata nuklear taktikal Rusia di Belarus.
Belarus tidak mempunyai senjata nuklear sejak awal 1990-an, setelah kejatuhan USSR.
“Kami bersetuju dengan Lukashenko untuk menempatkan senjata nuklear taktikal di Belarus tanpa melanggar rejim pengawalan senjata,” lapor Agensi Berita Rusia TASS memetik kenyataan Putin pada Sabtu.
Amerika Syarikat telah lama menempatkan senjata sedemikian di beberapa negara dan tidak ada yang luar biasa dalam permintaan Belarus itu, kata Putin.
Putin berkata Rusia akan menyelesaikan pembinaan kemudahan penyimpanan senjata nuklear taktikal di Belarus itu menjelang 1 Julai.
Sejak Rusia memulakan perang di negara jiran Ukraine 13 bulan lalu, pemimpin dan pengulas Barat telah menyuarakan kebimbangan bahawa Moscow mungkin mencetuskan konflik nuklear berdasarkan beberapa kenyataan pihak Rusia. – BERNAMA