comscore
Tumpuan :
Dunia

MP parti pemerintah India cetus kemarahan, gelar MP Islam sebagai “pengganas”

Foto: Agensi

NEW DELHI: Seorang Ahli Parlimen (MP) berkata beliau akan keluar Parlimen India jika tindakan tidak diambil terhadap seorang MP parti pemerintah yang menggelarnya sebagai “pengganas” dan “tali barut” serta cemuhan lain.

Kunwar Danish Ali, dari Parti Bahujan Samaj (BSP) yang mewakili kawasan Amroha menuntut tindakan diambil terhadap MP Partai Bharatiya Janata (BJP), Ramesh Bidhuri.

Bhiduri dikatakan telah menggunakan kata-kata cemuhan Islamofobia, ugutan dan bahasa kesat terhadapnya semasa berucap di Parlimen yang mula bersidang pada Jumaat.

“Ucapan kebencian dibuat di luar parlimen dan kini ucapan kebencian turut dibuat di dalam dewan oleh MP BJP.

“Saya mahu speaker mengambil tindakan. Tetapi, jika tiada tindakan, dengan rasa berat hati, saya akan pertimbang untuk berhenti daripada menjadi ahli Dewan ini kerana rakyat tidak memilih saya ke Parlimen untuk mendengar ucapan kebencian,” katanya.

Ali berkata jika seorang ahli politik beragama Islam boleh diperlakukan sedemikian di dalam bangunan Parlimen, bagaimana pula keadaan yang dialami oleh rata-rata umat Islam di negara ini.

“Adakah ini yang diajar di kem RSS?” tanya beliau merujuk kepada gabungan Bidhuri dengan Rashtriya Swayamsevak Sangh, atau Persatuan Sukarelawan Kebangsaan, ideologi BJP yang menjadi amalan Hindutva.

Beberapa parti pembangkang menyuarakan solidariti mereka terhadap Ali dan menulis kepada speaker menuntut tindakan diambil.

Dalam temu bual media, Mahua Moitra dari parti Kongres Trinamool berkata “masalahnya bukan Bidhuri” tetapi BJP, yang mewujudkan “ekosistem” yang membenarkan pihak tertentu secara terbuka untuk mengatakan perkara yang menyinggung perasaan.

Moitra berkata anggota BJP itu tahu bahawa tiada tindakan akan diambil ke atasnya selain terdapat menteri yang ketawa semasa dia membuat cemuhan itu.

Ahli politik Kashmir Omar Abdullah berkata speaker Lok Sabha Om Birla patut mengambil tindakan terhadap ahli BJP itu memandangkan MP pembangkang digantung kerana kesalahan remeh.

Jairam Ramesh, MP Kongres turut menuntut Bidhuri digantung manakala pemimpin Kanan parti Kongres Rahul Gandhi melawat kediaman Danish Ali untuk memberikan sokongan. – BERNAMA

Loading...
Terkini