Tumpuan :
Dunia

Mpox kekal sebagai kecemasan kesihatan awam global – WHO

FOTO: Reuters

ISTANBUL: Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, pada Jumaat mengumumkan bahawa virus mpox terus menjadi kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan dunia.

Jawatankuasa Kecemasan WHO telah bermesyuarat pada Jumaat untuk membincangkan virus itu, kata Tedros menerusi kenyataan di platform X, sambil menambah, “Mereka menasihati saya bahawa peningkatan kes mpox terus menjadi kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan dunia – saya menerima nasihat itu.”

Tedros menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat berdasarkan peningkatan bilangan kes, penyebaran geografi, cabaran operasi di lapangan dan keperluan untuk mewujudkan serta mengekalkan tindak balas yang konsisten dalam kalangan negara serta rakan kongsi.

Beliau menyeru negara yang terjejas untuk menggandakan usaha menangani wabak itu dan menggesa masyarakat antarabangsa untuk bekerjasama bagi menamatkan penularannya.

WHO mengisytiharkan mpox sebagai darurat kesihatan awam global pada Ogos lepas buat kali kedua dalam tempoh dua tahun, susulan penyebaran varian baharu jangkitan virus itu dari Congo ke negara jiran.

Mpox ialah penyakit virus yang dahulunya dikenali sebagai cacar monyet sebelum WHO menamakannya semula pada 2022 setelah menerima aduan bahawa nama itu bersifat perkauman dan stigma.

Penyakit zoonotik ini boleh menular kepada manusia melalui sentuhan fizikal rapat dengan individu berjangkit atau haiwan liar kecil atau bahan yang tercemar.

Gejala biasa termasuk ruam atau lesi, disertai demam seperti selesema, sakit kepala, sakit otot, sakit belakang, lemah badan dan kelenjar limfa yang bengkak.– BERNAMA-AA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini