WASHINGTON: Jutawan teknologi Amerika Syarikat (AS), Elon Musk, menambah sumbangan dana kira-kira AS$44 juta (RM191.3 juta) kepada kumpulan penyokong calon Presiden AS mewakili Republikan, Donald Trump, pada separuh pertama bulan ini.
Ia adalah tambahan kepada sumbangan AS$47 juta (RM204 juta) yang dilakukan Musk pada awal Oktober sebagai usahanya untuk menyokong Trump dalam pemilihan Presiden AS 5 November depan.
Sumbangan berkenaan didedahkan dalam pemfailan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Persekutuan oleh kumpulan America PAC yang disokong oleh Musk.
Ia muncul selepas laporan terdahulu menunjukkan Musk menyumbang sekitar AS$75 juta (RM 326.2 juta) kepada kumpulan penyokong berkenaan dalam tempoh tiga bulan antara Julai dan September lalu.
America PAC juga mendedahkan bahawa mereka telah membelanjakan lebih daripada AS$47 juta (RM204.4 juta) dalam tempoh separuh pertama Oktober.
Kempen Trump secara umumnya bergantung kepada kumpulan luar untuk menguruskan pengundi dan America PAC yang diasaskan Musk memainkan peranan besar dalam saingan sengit antara Trump dan calon Demokrat, juga Naib Presiden AS, Kamala Harris.
Dalam pada itu, menurut pemfailan berasingan kepada SPR Persekutuan, kempen Trump dilaporkan membelanjakan lebih AS$88 juta (RM382.7) bagi membiaya iklan pada separuh pertama Oktober dan baki AS$36 juta (RM156.5 juta) akan digunakan pada akhir kempen.
Dalam tempoh yang sama, kempen Trump berjaya mengumpulkan sebanyak AS$16 juta (RM69.5 juta).
Kempen Harris pula berjaya mengumpul dan membelanjakan lebih banyak berbanding kempen Trump dalam beberapa bulan kebelakangan ini, namun masih belum memfailkan laporan mengenai kewangan kempennya dalam separuh pertama bulan berkenaan.
Kumpulan penyokong Trump yang lain, Sentinel Action Fund, turut dilaporkan menerima AS$2.3 juta (RM10 juta) daripada Musk.
Sumbangan Musk kepada America PAC itu meletakkan beliau dalam kalangan dermawan besar kepada Republikan, termasuk pewaris perbankan Timothy Mellon dan bilionair kasino, Miriam Adelson.
Sebagai sebahagian daripada rancangan untuk meningkatkan sokongan kepada Trump, America PAC memberi sumbangan AS$1 juta (RM4.34 juta) sehari kepada pemenang cabutan yang menyertai petisyen dalam talian mereka, yang hanya terbuka kepada pengundi berdaftar di negeri-negeri medan pertempuran.
Memetik laporan CNN kelmarin, Jabatan Kehakiman menghantar surat kepada America PAC dan memberi amaran bahawa pemberian sumbangan berkenaan mungkin melanggar undang-undang Persekutuan.
Petisyen itu masih mejadi ‘isu kabur’ dalam undang-undang pilihan raya dan pakar undang-undang berbeza pendapat menyatakan bahawa Musk berkemungkinan telah melanggar larangan dengan membayar orang untuk mendaftar mengundi.
America PAC bagaimanapun masih belum memberi sebarang maklum balas terhadap permintaan untuk mengulas isi kandungan surat berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.