comscore
Tumpuan :
Dunia

Muslihat Israel arah penduduk pindah ke ‘Koridor selamat’

RISALAH yang digugurkan ”Pasukan Pertahanan Israel (IDF) untuk memberi amaran penduduk di Khan Younis, selatan Gaza berpindah segera ke Bandar Rafah. FOTO: Motaz Aizaza

Kuala Lumpur: Rejim Israel mengisytiharkan ‘koridor selamat’ di selatan Semenanjung Gaza, Palestin sebagai zon perang, sebaik sahaja gencatan senjata berakhir, semalam.

Beberapa perkongsian di media sosial menunjukkan risalah digugurkan pesawat Pasukan Pertahanan Israel (IDF) memberi amaran semua penduduk Bani Suhaila, Khuza’a, Abasan dan Al-Qarara di Khan Younis berpindah segera ke Bandar Rafah, selatan Gaza bagi mencari tempat perlindungan baharu.

Namun, dalam siri serangan terbaharu semalam, rejim itu turut mensasarkan serangan di selatan Gaza membabitkan bandar Al-Qarara, Abasan Al-Kabira, Khuza’a serta Bandar Rafah.

Amaran terbaharu itu menyerlahkan lagi muslihat Israel yang sebelum ini mengarahkan penduduk di bahagian utara berpindah ke selatan yang mereka gelar sebagai ‘koridor selamat’.

Pengurus Besar Global Peace Mission (GPM) di Gaza, Dr Tareq Al Talmas mengesahkan, penduduk di selatan menerima risalah pemindahan segera ke Bandar Rafah sejak semalam.

Katanya, keadaan semakin buruk apabila rejim itu kembali mengganas selepas berikrar meneruskan serangan hampir semua penjuru di Gaza sebaik sahaja gencatan senjata tujuh hari berakhir, 7 pagi semalam (waktu Palestin).

“Tembakan dan letupan bom boleh didengari di bahagian utara Gaza.

“Pada masa sama langit penuh dengan dron disertai bunyi letupan dan bedilan bertalu-talu di Khan Younis (selatan) dan tengah Gaza,” katanya dalam kemas kini yang dikongsikan di Instagram GPM Malaysia, malam tadi.

Sementara itu, pembuat video, Abomoaaz berkata, mereka kembali kepada situasi perang yang sengit selepas kedengaran bunyi tembakan dan meriam bertalu-talu di merata tempat.

“Alhamdulillah saya masih ok. Saya cuba ke utara tetapi tentera penjajah menutup semua jalan utama dari sempadan ke laut.

“Tiada siapa mahu ambil risiko kerana tembakan bertalu-talu dan dua orang sudah syahid kerana cuba memasuki kawasan larangan itu,” katanya menerusi perkongsiannya di Instagram, malam tadi.

Dalam tempoh semalaman sahaja, lsrael melancarkan lebih 200 serangan serentak di Semenanjung Gaza.

Selain selatan, rejim Zionis turut membedil utara Gaza membabitkan kawasan Sheikh Radwan, Hospital Kamal Adwan selain sebuah sekolah Agensi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) yang menempatkan penduduk kehilangan tempat tinggal di kem Jabalia.

Kawasan tengah Gaza juga menjadi tumpuan serangan Israel termasuk kem pelarian Nuseirat, Bureij, Al-Asirat, Al-Maghazi, Beit Lahiya, Beit Hanoun serta Deir Al-Balah.

Sehingga kini, Kementerian Kesihatan di Gaza menganggarkan lebih 170 orang terkorban manakala lebih 580 penduduk cedera pada serangan hari pertama selepas gencatan senjata berakhir, semalam.

Loading...
Terkini