MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin dilaporkan menghubungi Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev, bagi menyampaikan permohonan maaf dan ucapan takziah berhubung kemalangan pesawat Azerbaijan Airlines di Kazakhstan minggu ini, lapor Agensi Anadolu.
Dalam kenyataan Kremlin, Putin memohon maaf atas insiden tragik yang berlaku di ruang udara Russia dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, selain berharap mereka yang cedera segera pulih.
“Pesawat Azerbaijan itu dilaporkan membuat beberapa percubaan mendarat di Grozny, Chechnya, ketika sistem pertahanan udara Russia bertindak balas terhadap serangan dron Ukraine,” menurut kenyataan itu.
Jawatankuasa Siasatan Russia telah membuka kes di bawah Perkara 263 Kanun Jenayah berkaitan pelanggaran keselamatan trafik udara. Tindakan siasatan awal sedang dijalankan dengan bantuan pakar awam dan tentera, kata Kremlin.
Kemalangan itu berlaku pada Rabu apabila pesawat yang membawa 67 penumpang dari Baku ke Grozny terhempas berhampiran Aktau, Kazakhstan, menyebabkan 38 mangsa maut manakala 29 lagi terselamat.
Dua wakil Pejabat Pendakwa Raya Azerbaijan kini berada di Grozny untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa Russia, sementara pelbagai perkhidmatan dari Russia, Azerbaijan, dan Kazakhstan sedang menyelaras usaha di tapak nahas.
Sementara itu, perkhidmatan media Presiden Azerbaijan mengesahkan bahawa Aliyev menegaskan pesawat berkenaan menghadapi gangguan luaran di ruang udara Russia, khususnya di Chechnya. Gangguan ini memaksa pesawat melencong ke Aktau, Kazakhstan, di mana ia berjaya mendarat dengan selamat hasil profesionalisme juruterbang.
Dalam perbincangan, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk melaksanakan penyiasatan menyeluruh, memastikan mereka yang bertanggungjawab diambil tindakan, dan memberikan maklumat terkini kepada orang ramai. Delegasi pakar antarabangsa yang dibentuk Azerbaijan juga telah memulakan siasatan terperinci terhadap insiden ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.