comscore
Tumpuan :
Dunia

NASA Lakukan Percubaan Kedua Pelancaran Roket Bulan Sabtu Ini

Foto: AP

WASHINGTON: Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) menyasarkan untuk melakukan percubaan kedua Sabtu ini untuk melancarkan roket Bulan menerusi Sistem Pelancaran Angkasa (SLS) baharunya.

Pegawai agensi itu berkata, jadual baharu itu dikeluarkan lima hari selepas ia dibatalkan ekoran isu teknikal yang menggagalkan percubaannya Isnin lalu.

Pelancaran itu menggunakan roket SLS setinggi 32 tingkat yang dilancarkan dari Pusat Angkasa Kennedy di Cape Canaveral, Florida, bagi menguji kapsul Orionnya pada penerbangan ujian enam minggu tanpa kru mengelilingi bulan dan kembali ke Bumi.

Pelancaran yang ditunggu-tunggu itu akan memulakan program Moon-to-Mars Artemis agensi angkasa Amerika Syarikat (AS), yang diadakan 50 tahun selepas angkasawan Apollo 17 kali terakhir menjejakkan kaki di bulan.

Pelancaran pertama SLS-Orion, misi yang digelar Artemis I, bertujuan meletakkan pesawat seberat 5.75 juta paun itu melalui rentaknya dalam demontrasi penerbangan untuk menolak had reka bentuknya, sebelum NASA menganggapnya cukup diyakini untuk membawa angkasawan.

Percubaan pelancaran Artemis I NASA Isnin lalu berakhir dengan masalah suhu pada satu enjin roket pelancar, memaksa ia ditangguhkan.

Ketika taklimat semalam, pegawai NASA berkata mereka berharap isu itu dapat diselesaikan tepat pada masanya untuk percubaan semula Sabtu ini. – BERITA HARIAN / REUTERS

Loading...
Terkini