comscore
Tumpuan :
Dunia

Negara barat perlu hentikan penghinaan terhadap kitab suci – Turkiye

Membakar Al-Quran telah menunjukkan ‘mentaliti kebencian’ terhadap Barat, kata speaker parlimen, Mustafa Sentop
Foto: Agensi

ANKARA: Negara Barat perlu menghentikan penghinaan terhadap kitab suci, kata Speaker Parlimen Turkiye Mustafa Sentop susulan kejadian membakar al-Quran di Sweden, Denmark dan Belanda minggu lepas.

“Negara Barat harus segera menamatkan permainan berbahaya ini,” kata Sentop pada sesi ke-17 Kesatuan Parlimen Pertubuhan Negara Anggota Kerjasama Islam (PUIC) di Algeria, lapor Agensi Anadolu.

Beliau berkata demikian selepas ahli politik Denmark-Sweden Rasmus Paludan pada Jumaat lalu (27 Januari) membakar senaskhah al-Quran di hadapan sebuah masjid di Denmark.

Tindakan Islamofobia itu berlaku beberapa hari selepas Paludan membakar al-Quran di luar Kedutaan Turki di Sweden semasa protes yang mendapat kebenaran polis.

Paludan berkata beliau akan membakar kitab suci umat Islam setiap hari Jumaat sehingga Sweden dimasukkan ke dalam pakatan NATO.

Ketua kumpulan Islamofobia Pegida Edwin Wagensveld turut membakar al-Quran di The Hague pada 22 Januari yang mengundang kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Insiden berkenaan terus mendapat kecaman global dengan Perdana Menteri Sweden Ulf Kristersson menyifatkan tindakan Paludan sebagai “kurang ajar”.

Penghinaan terhadap al-Quran mencetuskan bantahan dalam kalangan negara-negara Islam, Türkiye mengutuk sekeras-kerasnya kebenaran yang diberikan oleh pihak berkuasa untuk tindakan provokasi itu yang jelas menunjukkan ia satu jenayah kebencian.

“Tindakan provokatif terhadap Islam yang menghina nilai-nilai suci kita telah dibenarkan oleh pihak berkuasa Sweden hanya atas nama kebebasan bersuara, Belanda pula membiarkan perkara itu dan Denmark mengikut jejak langkah yang sama…apa yang berlaku ini perlu pertimbangan yang sangat teliti,” kata Sentop.

Beliau berkata perbuatan itu menunjukkan “mentaliti kebencian” Barat yang tidak menghormati kepercayaan dan idea.

“Di sebalik semua itu, kita umat Islam wajib mengamalkan sikap berwaspada, bersederhana, rasional dan bermaruah. Kita tidak boleh meninggalkan prinsip menghormati perbezaan yang telah diajar oleh agama dan tamadun kita yang menyuruh kepada kebaikan dan menjauhi kemungkaran,” kata Sentop.

Dalam menghadapi penghinaan seperti itu, suara dari negara dan pertubuhan Islam kelihatan sangat lemah, kata speaker parlimen itu.

“Bagaimanapun, tindak balas kolektif dan kuat kita sudah tentu akan memadamkan rasa tidak hormat Sweden, Denmark, Belanda atau negara lain dan akan memaksa mereka untuk mengelakkan kejadian sama daripada berlaku lagi,” katanya.

Malaysia juga mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan keji Paludan dan Wagensveld.

Pada Sabtu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia akan mengeluarkan satu juta al-Quran untuk diedarkan segera di seluruh dunia sebagai menjawab “kebiadaban yang dilakukan terhadap kitab suci itu”.

“Saya setuju supaya cara paling berfaedah menjawab semua kerja-kerja gila dan biadab (membakar al-Quran) ini ialah untuk teruskan usaha yang telah dimulakan dan bertekad dalam masa singkat untuk cetak dan edar satu juta al-Quran ke seluruh dunia.

“(Ia akan) disusuli dengan beberapa program ke arah penghayatan dan pemahaman al-Quran dengan mesej dengan risalah jelas,” kata Anwar. – BERNAMA

 

Loading...
Terkini