BEIRUT: Pasukan udara Israel menyerang sebuah fasiliti yang digunakan Hizbullah untuk menyimpan roket di selatan Lubnan semalam, tidak sampai 24 jam gencatan senjata diisytiharkan.
Serangan itu dilakukan ketika kedua-dua pihak saling menuding jari terhadap pelanggaran gencatan senjata yang bertujuan menghentikan konflik.
Israel berkata, pihaknya melepaskan tembakan ke arah suspek dengan kenderaan yang tiba di beberapa kawasan di zon selatan yang disifatkan melanggar gencatan senjata yang berkuat kuasa, Rabu lalu.
Ahli Parlimen Hizbullah, Hassan Fadlallah, menuduh Israel melanggar perjanjian gencatan senjata selama 60 hari yang bertujuan menghentikan permusuhan secara kekal.
“Musuh Israel menyerang mereka yang kembali ke kampung sempadan,” katanya.
Tentera Lubnan turut menuduh Israel melanggar gencatan senjata beberapa kali pada Rabu dan Khamis.
Serangan udara Israel, semalam adalah yang pertama sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada pagi Rabu.
Sumber keselamatan Lubnan dan penyiar Al-Jadeed melaporkan serangan berlaku berhampiran Baysariyah, utara Sungai Litani.
Perjanjian gencatan senjata menetapkan bahawa fasiliti ketenteraan yang tidak dibenarkan di selatan Sungai Litani perlu dirobohkan tetapi tidak menyebut fasiliti ketenteraan di utara sungai.
Sebelum ini, tembakan kereta kebal Israel di lima bandar dan beberapa ladang di selatan Lubnan, menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang cedera.
Semua kawasan itu terletak dalam jarak dua kilometer (km) dari Garis Biru yang menandakan sempadan antara Lubnan dan Israel.
Kawasan itu diumumkan oleh tentera Israel sebagai zon larangan berhampiran sempadan, walaupun selepas perjanjian itu dipersetujui.
Tentera Israel dalam satu kenyataan berkata ia mengenal pasti beberapa aktiviti mencurigakan, yang dianggap ancaman dan melanggar syarat perjanjian gencatan senjata.
Ketua Staf Umum, Herzi Halevi berkata, sebarang tindakan terhadap pencabulan perjanjian itu akan dikuatkuasakan dengan tembakan.
Semalam, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, beliau mengarahkan tentera untuk bersiap sedia menghadapi pertempuran sengit sekiranya gencatan senjata dilanggar.
“Kami akan menguatkuasakan tindakan balas dengan tegas,” katanya.
Rakyat Lubnan yang dipindahkan dari rumah mereka berhampiran sempadan selatan dilaporkan cuba kembali untuk memeriksa harta benda mereka.
Bagaimanapun tentera Israel dikatakan masih berada di wilayah Lubnan di bandar-bandar sepanjang sempadan.
Tentera Israel turut memperbaharui perintah berkurung yang mengehadkan pergerakan penduduk di selatan Lubnan, selatan Sungai Litani, antara jam 5 petang (1500 GMT) hingga 7 pagi.
Selasa lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, mengumumkan penguatkuasaan perjanjian gencatan senjata di Lubnan.
Katanya, beliau juga akan memperbaharui usaha untuk mencapai perjanjian gencatan senjata di Gaza dan menggesa Israel serta Hamas untuk merebut peluang berkenaan. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.