comscore
Tumpuan :
Dunia

New Zealand rangka RUU tafsir pembentukan negara

Foto: Luxon reuters

WELLINGTON: New Zealand mengumumkan pada Rabu bahawa negara itu akan merangka rang undang-undang yang bertujuan mentafsir semula perjanjian pembentukan negara itu atau dikenali sebagai Perjanjian Waitangi 1840, meskipun dua daripada tiga parti pemerintah membantah rang undang-undang itu untuk menjadi undang-undang rasmi.

Perjanjian Waitangi 1840 ialah perjanjian penting yang ditandatangani pada 6 Februari 1840 antara lebih 500 ketua puak Maori dan wakil dari pihak British di New Zealand.

Perjanjian ini dianggap sebagai dokumen pengasas New Zealand moden dan menjadi asas hubungan antara kaum Maori dan penjajah British.

Tafsiran terhadap prinsip-prinsip ini terus menjadi asas kepada undang-undang dan dasar hingga ke hari ini, selain menjadi pertikaian terhadap tuntutan hak kedaulatan oleh kaum Maori.

Menteri Kehakiman David Seymour, berkata kabinet telah bersetuju untuk merangka Rang Undang-Undang Prinsip Perjanjian yang akan mentakrifkan semula bagaimana prinsip-prinsip itu difahami, dan rang undang-undang tersebut dijangka diperkenalkan ke parlimen pada akhir tahun ini.

“Tujuan Rang Undang-Undang Prinsip Perjanjian adalah untuk Parlimen mentakrifkan prinsip-prinsip Perjanjian, memberikan kepastian dan kejelasan, serta mempromosikan perbincangan nasional tentang kedudukannya dalam susunan perlembagaan kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Seymour turut menjelaskan bahawa rang undang-undang ini akan memasukkan prinsip bahawa kerajaan New Zealand mempunyai kuasa penuh untuk mentadbir dan menggubal undang-undang; mengiktiraf hak masyarakat pribumi, serta memastikan semua rakyat adalah sama rata di sisi undang-undang.

Rang undang-undang ini adalah dasar parti ACT New Zealand yang dipimpin oleh Seymour, yang memperoleh 8.6 peratus undi pada pilihan raya 2023.

Rakan sekutu gabungan, Parti Nasional dan New Zealand First, kedua-duanya bersetuju untuk menyokong rang undang-undang ini sehingga bacaan pertama daripada tiga bacaan di Parlimen, sebagaimana yang dinyatakan dalam perjanjian gabungan mereka.

Bagaimanapun, Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon, mengesahkanpendirian partinya kekal bahawa mereka tidak akan menyokong rang undang-undang ini melepasi bacaan pertama.

Rang undang-undang ini dianggap kontroversi kerana menurut masyarakat Maori dan penyokong mereka, ia sebagai satu tindakan yang melemahkan hak masyarakat pribumi negara itu, yang mewakili kira-kira 20 peratus daripada populasi 5.3 juta orang.

Hal ini rentetan daripada apa yang didakwa sebagai diskriminasi sosial dan ekonomi terhadap masyarakat Maori oleh kerana ketidakadilan dasar-dasar kerajaan yang berpaksikan dasar penjajahan di negara itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini