comscore
Tumpuan :
Dunia

Nora AlMatrooshi, wanita Arab pertama lulus program NASA

DUBAI: Nora AlMatrooshi menjadi wanita Arab pertama dipilih sebagai angkasawan wanita yang lulus program latihan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA).

Jurutera mekanikal yang pernah bekerja dalam industri minyak itu, adalah salah seorang daripada dua calon angkasawan yang dipilih Agensi Angkasa Emiriah Arab Bersatu (UAESA) pada 2021 untuk mendaftar dalam program latihan dengan Nasa.

Selepas dua tahun bekerja keras termasuk berlatih spacewalk, Nora dan rakan senegaranya, Mohammad AlMulla dan 10 yang lain di dalam kelas latihan itu diiktiraf sebagai angkasawan berkelayakan sepenuhnya.

Kumpulan itu, yang dikenali sebagai The Flies, kini layak untuk menyertai misi Nasa ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), misi Artemis ke bulan dan jika semuanya berjalan lancar, kemungkinan boleh terbang ke Marikh.

Nora, 30, masih mengingati zaman sekolah rendah apabila gurunya membuat simulasi perjalanan ke permukaan bulan.

“Pengalaman itu menakjubkan dan saya bertekad untuk sampai ke bulan,” katanya kepada Reuters.

Nora yang mengenakan hijab berkata, Nasa membangunkan strategi untuk membolehkannya menutup aurat sambil memakai sut angkasa dan topi keledar ikonik agensi itu, yang dikenali secara rasmi sebagai Unit Mobiliti Ekstravehikular (EMU).

“Sebaik sahaja anda masuk ke EMU, anda memakai topi (komunikasi) (dilengkapi dengan mikrofon dan pembesar suara) yang… menutup rambut anda,” katanya.

Wanita itu berkata, cabarannya apabila saya perlu menanggalkan tudung biasa dipakai sebelum memakai topi komunikasi khas itu kerana hanya bahan yang dibenarkan secara khusus sahaja boleh dipakai dalam EMU.

“Jurutera sut akhirnya menjahit tudung khas untuk saya yang akhirnya membantu saya melindungi rambut semasa memakai topi komunikasi itu.

“Saya sangat menghargai usaha mereka ini,” katanya.

Walaupun Nora adalah yang pertama menamatkan pengajian di Nasa, wanita Arab lain sudah menyertai misi angkasa lepas persendirian.

Ini termasuk penyelidik bioperubatan Arab Saudi, Rayyanah Barnawi, yang terbang dengan Axiom Space ke ISS, tahun lepas, dan jurutera Mesir-Lubnan, Sara Sabry, salah seorang kru dalam penerbangan suborbital Blue Origin pada 2022.–REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini