comscore
Tumpuan :
Dunia

[VIDEO] Norway, Sepanyol secara rasmi iktiraf kenegaraan Palestin

RAMALLAH: Norway dan Sepanyol pada Selasa mengumumkan pengiktirafan rasmi mereka terhadap negara Palestin manakala Ireland dijadualkan menyusul langkah kedua-dua negara itu, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Sebelum kerajaan Sepanyol meluluskan dekri mengiktiraf negara Palestin, Menteri Luarnya Jose Manuel Albarez dalam ucapannya berkata “mengiktiraf negara Palestin adalah langkah bersejarah yang membolehkan rakyat Palestin dan Israel mencapai keamanan.”

“Keputusan untuk mengiktiraf negara Palestin adalah selaras dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan tidak ditujukan kepada mana-mana pihak”, sambil menegaskan bahawa negaranya tidak akan mengiktiraf sebarang perubahan kepada sempadan 1967, tanpa persetujuan Israel dan Palestin, dan satu-satunya jalan menuju keamanan ialah penyelesaian dua negara.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez menegaskan komitmen Sepanyol terhadap keselamatan di rantau berkenaan serta bekerjasama dengan negara-negara Arab untuk mengadakan persidangan damai.

Beliau menegaskan bahawa keutamaan sekarang adalah untuk menamatkan krisis yang tidak pernah berlaku sebelum ini di Gaza, membuka lintasan sempadan dan menggesa gencatan senjata kekal di Gaza serta kemasukan bantuan kemanusiaan.

Sementara itu, Norway secara rasmi turut mengiktiraf negara Palestin.

“Pengiktirafan rasmi Norway terhadap Palestin sebagai sebuah negara telah mula berkuat kuasa,” menurut Kementerian Luar dalam kenyataan.

Kementerian Luar berkata “beberapa negara Eropah lain yang mempunyai pandangan sama akan mengiktiraf Palestin secara rasmi pada tarikh sama.

“Ketiga-tiga negara Eropah itu mengumumkan langkah berkenaan secara serentak minggu lepas dengan pemimpin mereka menyatakan bahawa mereka berhasrat negara-negara lain akan menyertai inisiatif tersebut, menekankan bahawa ia akan meningkatkan prospek keamanan.

Susulan langkah Sepanyol, Norway dan Ireland, jumlah negara yang mengiktiraf negara Palestin meningkat kepada 147, daripada 193 negara anggota dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.– BERNAMA-WAFA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini