comscore
Tumpuan :
Dunia

NSS tidak beri faedah jangka panjang kawal gula & kurangkan lemak

Foto: Reuters

WASHINGTON: Pemanis bukan gula (NSS) tidak memberi sebarang faedah jangka panjang bagi mengurangkan lemak badan.

Itu garis panduan baharu yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Isnin.

Justeru, badan itu mencadangkan orang ramai mengelak daripada menggunakan NSS untuk mengawal berat badan atau mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit, lapor United Press International (UPI).

Penggunaan pemanis bukan gula dengan tujuan menurunkan berat badan juga boleh meningkatkan risiko diabetes tahap 2, penyakit kardiovaskular dan kematian pada orang dewasa.

Syor WHO itu terpakai kepada semua kecuali orang dewasa yang sudah menghidap diabetes.

Foto: Reuters

Garis panduan itu juga merangkumi kebanyakan pengganti gula termasuk aspartam, stevia dan derivatif stevia.

Menurut WHO, orang ramai perlu mempertimbang cara lain untuk mengurangkan pengambilan gula, dengan mengambil makanan yang mengandungi gula semula jadi, seperti buah-buahan atau makanan dan minuman tanpa gula.

Cadangan itu ketika ini dinilai sebagai sebagai bersyarat dan tidak terpakai kepada produk seperti ubat gigi dan krim kulit.

WHO sedang mengeluarkan satu siri garis panduan dan cadangan pemakanan untuk mengurangkan peningkatan penyakit tidak berjangkit di seluruh dunia.

Kajian 2019 oleh penyelidik Jerman mendapati hanya bukti lemah menunjukkan pemanis tanpa kalori memberikan manfaat kepada kanak-kanak atau orang dewasa yang ingin menurunkan berat badan.

Loading...
Terkini