comscore
Tumpuan :
Dunia

Obama berkempen untuk Harris di Pennsylvania, antara negeri penentu ke Rumah Putih

Obama meluangkan masa bertemu dengan pelajar semasa berkempen untuk Harris di sebuah universiti di Pittsburgh. – FOTO: Reuters

PITTSBURGH: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama membuat hujah yang bersemangat menentang Donald Trump dan menyokong Naib Presiden, Kamala Harris pada Khamis dalam satu perhimpunan di Universiti Pittsburgh.

Obama muncul menjadi penyokong vokal Harris selepas Presiden Joe Biden mengundurkan diri pada Julai lalu susulan persembahan debat yang buruk menentang Trump.

Walaupun sudah tamat perkhidmatan pada 2017,Obama masih popular dalam kalangan pengundi partinya.

Perhimpunan di Universiti Pittsburgh diadakan ketika Harris menghabiskan hari berkempen di Nevada dan Arizona, dan ia merupakan yang pertama daripada beberapa acara yang beliau rancang di negeri-negeri penting dalam minggu-minggu akan datang.

Selain Michigan, Pennsylvania dilihat sebagai ‘kunci’ untuk Harris memenangi saingan ke Rumah Putih pada Pilihan Raya Presiden AS, November depan.

“Saya faham mengapa orang ingin mengubah keadaan. Saya memahami perasaan kecewa..merasakan ‘kita boleh lakukan yang lebih baik’.

“Apa yang saya tidak faham adalah mengapa sesiapa pun berfikir bahawa Donald Trump akan mengubah keadaan dengan cara yang baik untuk anda, Pennsylvania,” katanya.

Menurut Obama, Trump hanya mementingkan ego dan kewangan sendiri.

Beliau menekankan bahawa Harris dibesarkan dalam keluarga kelas pertengahan dan percaya kepada nilai-nilai Amerika, jika dibandingkan dengan pembohongan dan usaha Trump untuk menipu termasuk baru-baru ini mengenai respons kerajaan terhadap ribut taufan.

“Bila ini menjadi okay?” tanya Obama.

Katanya, pilihan raya pada bulan depan berkisarkan tentang watak dan nilai sama seperti dasar, sambil menyoroti ‘rancangan konkrit’ Harris mengenai perumahan dan cukai.

“Kamala sudah bersedia untuk tugas ini seperti mana-mana calon presiden yang pernah ada. Dengan Kamala, anda mempunyai rancangan yang sebenar. Trump – hanya konsep rancangan,” jelasnya.

Obama juga memberi tumpuan kepada pengundi lelaki. Kempen Harris turut berjuang untuk menarik jumlah pengundi lelaki selepas sesetengah daripada mereka menerima perbuatan buli Trump sebagai tanda kekuatan.

“Saya di sini untuk memberitahu anda, itu bukanlah kekuatan yang sebenar,” kata Obama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini