Tumpuan :
Dunia

OIC sambut baik waran tangkap ICC berhubung jenayah perang di Gaza

ANKARA: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menyambut baik keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza, lapor Agensi Anadolu (AA).

Dalam satu kenyataan lewat Khamis, OIC menyifatkan langkah itu sebagai penting ke arah menamatkan ‘kekebalan daripada hukuman’ yang dinikmati pegawai Israel selama beberapa dekad” dan “memulihkan keyakinan terhadap keadilan dan akauntabiliti antarabangsa.”

Pertubuhan itu menegaskan bahawa keputusan berkenaan “mewakili kemenangan bagi legitimasi antarabangsa dan kedaulatan undang-undang.”

OIC turut menyeru komuniti antarabangsa, khususnya negara anggota Statut Rom, agar “menghormati dan melaksanakan keputusan penting ini.”

Selain itu, OIC menggesa Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk “mempercepatkan penghakiman mengenai dakwaan genosid yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin.”

Dengan menekankan krisis kemanusiaan yang berterusan, OIC merayu kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya “mengambil langkah segera dan berkesan untuk menguatkuasakan resolusinya.”

Pertubuhan itu juga menuntut “gencatan senjata menyeluruh dan kekal bagi menamatkan pencerobohan ketenteraan serta genosid yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin” dan menyeru supaya “bantuan kemanusiaan sampai ke semua kawasan di Semenanjung Gaza tanpa halangan.”- BERNAMA-AA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini