comscore
Tumpuan :
Dunia

Padah bawa bekal nasi daging babi, penumpang pesawat dihantar balik 

HONG KONG: Seorang penumpang pesawat yang dalam perjalanan dari Hong Kong ke Taiwan terpaksa dihantar pulang kerana gagal membayar denda NT$200,000 (RM29,500) selepas didapati membawa masuk bekas makanan berisi daging babi panggang.

Penumpang warga Indonesia itu tiba di Taipei pada 30 April dan didapati membawa makanan tengah hari yang mengandungi gabungan daging panggang Kantonis, iaitu satu pelanggaran terhadap peraturan import.

Berdasarkan gambar dikongsi secara dalam talian, set makanan itu termasuk nasi dengan daging babi panggang serta ayam kicap.

Seekor anjing pengesan Kastam menghidu makanan berkenaan sebelum disedari pengendalinya.

Individu berkenaan seterusnya dikenakan denda serta merta NT$200,000 (RM29,500) kerana membawa makanan dilarang yang tidak diisytiharkan itu.

Namun, individu berkenaan tidak dapat membayar penalti serta-merta dan dihantar pulang, selain diarah untuk menyelesaikan dendanya sebelum kembali memasuki Taiwan.

Pihak berkuasa Taiwan mengenakan kawalan ketat ke atas import daging babi dari kawasan di mana kes demam babi Afrika dikesan sejak 2018.

Denda untuk kesalahan pertama ialah NT$200,000 (RM29,500), meningkat kepada NT$1 juta (RM147,500) untuk pelanggaran berikutnya.

Seorang pegawai dari Agensi Pemeriksaan Kesihatan Haiwan dan Tumbuhan Taiwan memberitahu, penumpang boleh membuang mana-mana barang terlarang yang mereka tersilap bawa masuk menggunakan tong sampah sebelum melalui kawalan imigresen.

“Kamu boleh membuangnya di sana atau mengisytiharkannya di kaunter kuarantin haiwan dan tumbuhan kami. Sama ada kamu memilih untuk mengisytiharkannya secara sukarela atau melupuskannya, tidak akan ada liabiliti jenayah,” katanya.

Menurut laman sesawang Kastam Taipei, kebanyakan produk daging yang diperbuat daripada haiwan darat mesti diisytiharkan untuk pemeriksaan kuarantin.

Ini bagi mengelak wabak demam babi Afrika dan penyakit lain.Pengembara yang tiba dan gagal mengisytiharkan produk sedemikian boleh didenda antara NT$10,000 (RM1,475) dan NT$1 juta (RM147,500). — AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini