comscore
Tumpuan :
Dunia

Padah nyata niat jadikan kedi golf perempuan simpanan, lelaki parah ditikam isteri

BANGKOK: Seorang lelaki di nyaris maut akibat ditikam oleh isterinya, selepas dia meminta izin untuk mengambil kedi golf sebagai wanita simpanannya.

Thaiger News melaporkan, kejadian itu berlaku di sebuah bilik sewa di Mueang Chon Buri, semalam.

Pegawai Balai Polis Don Hua Lor yang tiba di lokasi kejadian melihat pemain golf itu, Rachain berusia 36 tahun, berada dalam keadaan terpinga-pinga, selain cedera pada lengan, belakang badan dan perutnya.

Hasil siasatan mendapati lelaki itu mendakwa diserang isterinya sendiri, dan motif kejadian dipercayai akibat cemburu.

Ketika kejadian, isterinya tidak banyak cakap, sebaliknya hanya bertindak menikam mangsa sebelum beredar dari tempat kejadian.

Mangsa bagaimanapun menyatakan tidak akan mengambil tindakan undang-undang kerana telah memaafkan tindakan isterinya itu.

Dalam pada itu, Rachain menerima bantuan pertolongan cemas daripada Pasukan Penyelamat Trai Kunna Dham sebelum dibawa ke Hospital Chon Buri untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sebelum ini, kejadian sama akibat cemburu pernah berlaku kepada pemain golf, pada Jun lalu.

Padang golf di wilayah tengah Kanchanaburi menjadi tempat kejadian tragis apabila seorang lelaki Thailand yang cemburu menembak seorang pemain golf, dan kekasihnya yang bekerja sebagai kedi.

Motif di sebalik perbuatan ngeri itu adalah syak wasangka kerana penyerang percaya pemain golf itu mempunyai hubungan sulit dengan kekasihnya.

Walaupun kedi itu terselamat dalam serangan itu, pemain golf itu meninggal dunia akibat kecederaannya ketika menerima rawatan perubatan.

Pada bulan sama, seorang kedi golf diserang lelaki ketika dia menunggang motosikal ke tempat kerja di wilayah Chon Buri.

Lelaki itu membaling petrol ke arahnya dan melanggar motosikal ditunggang kedi itu sehingga mangsa terjatuh ke hutan di tepi jalan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini