Tumpuan :
Dunia

Paderi cedera ditikam di Singapura

SINGAPURA: Seorang paderi cedera dalam serangan menggunakan pisau semasa upacara misa di Gereja St Joseph di Bukit Timah pada petang Sabtu.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Undang-Undang Singapura K. Shanmugam berkata paderi itu telah dibawa ke hospital dan berada dalam keadaan stabil.

Beliau berkata suspek, seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun, telah ditahan oleh pihak polis.

Menurut beliau, penyerang itu sebelum ini mengisytiharkan agamanya sebagai Kristian kepada Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).

“Siasatan sedang dijalankan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Sementara itu, Keuskupan Agung Roman Katolik Singapura mengenal pasti mangsa sebagai Christopher Lee, seorang paderi di Gereja St Joseph.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Komunikasi Uskup Agung, Gereja itu menyatakan bahawa Lee telah diserang oleh seorang lelaki bersenjatakan pisau semasa meraikan misa pada 5.30 petang.

Gereja itu memaklumkan bahawa Lee telah dibawa ke Hospital Universiti Nasional oleh paramedik Pasukan Pertahanan Awam Singapura dan sedang menerima rawatan.

Gereja menggesa masyarakat agar bertenang dan mengelakkan spekulasi di media sosial sementara polis menjalankan siasatan.

“Gereja tidak membenarkan sebarang bentuk keganasan. Kami juga memohon doa agar Lee lekas sembuh, untuk penyerang, dan untuk semua yang hadir semasa misa, terutamanya kanak-kanak yang mungkin terkesan dengan insiden ini,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pasukan Polis Singapura (SPF) memaklumkan bahawa mereka menerima panggilan bantuan kira-kira 6.30 petang.

Senjata yang digunakan suspek, yang mempunyai rekod jenayah lampau mencederakan orang dengan serius dan kesalahan berkaitan dadah berjaya dirampas anggota jemaah dan suspek kemudiannya ditahan oleh pegawai polis.

Polis berkata berdasarkan siasatan awal, lelaki itu dipercayai bertindak sendirian.

“Setakat ini, polis tidak mengesyaki bahawa ini adalah satu tindakan keganasan,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai diminta bertenang dan tidak membuat spekulasi sementara siasatan diteruskan untuk menentukan motif kejadian. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini