ANKARA: Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) pada Jumaat kesal dengan serangan ke atas ambulans di Semenanjung Gaza.
Presidennya Francesco Rocca menerusi hantaran di X berkata gambar-gambar serangan ngeri dan mengejutkan ke atas pesakit dan ambulans berhampiran Hospital Al-Shifa di Gaza mengingatkannya akan pengeboman pasar Markale di Sarajevo, lapor Agensi Anadolu.
“Pemandangan ini tidak boleh diterima! Orang awam, ambulans, doktor, hospital mesti dilindungi. Sentiasa,” tegas beliau.
Sebanyak 13 penduduk Palestin terbunuh manakala 26 lagi cedera dalam pengeboman Israel pada Jumaat yang menyasarkan ambulans di hadapan Hospital Al-Shifa di Gaza City, menurut Kementerian Kesihatan di wilayah itu.
Tentera Israel telah perluaskan serangan udara dan darat ke atas Semenanjung Gaza, mengakibatkan kematian sekurang-kurangnya 9,240 penduduk Palestin. – BERNAMA-ANADOLU