
JEREZ: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun menikam tiga guru dan dua pelajar di sebuah sekolah di Jerez de la Frontera, selatan Sepanyol.
Ketika kejadian, suspek bertindak menikam lima mangsa berulang kali sejurus sesi kelas bermula.
Pihak polis yang bergegas ke lokasi mengesan suspek di tingkat tiga sekolah berkenaan dalam keadaan masih memegang dua bilah pisau digunakan untuk menyerang mangsa.
Media tempatan memaklumkan seorang guru berada dalam keadaan serius selepas ditikam di mata, manakala mangsa lain mengalami cedera ringan.
Dalam pada itu, ibu bapa pelajar terlibat juga telah dimaklumkan mengenai kejadian.
Serangan mencetus kebimbangan di negara berkenaan berikutan jenayah kekerasan dalam kalangan remaja jarang berlaku.
Datuk Bandar Jerez menyifatkan kejadian itu amat dahsyat, dramatik dan di luar jangkaan.
Berdasarkan rekod, suspek disifatkan oleh rakannya seorang panas baran dan sering mencetus pergaduhan.