comscore
Tumpuan :
Dunia

Parlimen EU lulus 40 peratus kuota untuk wanita dalam lembaga pengarah korporat

EROPAH: Parlimen Eropah meluluskan peraturan penting untuk meningkatkan kesaksamaan jantina dengan menambah bilangan wanita dalam lembaga pengarah syarikat-syarikat besar di EU

Menurut kenyataan oleh badan perundangan EU, menjelang Julai 2026, semua syarikat tersenarai awam besar di EU perlu mengambil langkah untuk menambah bilangan wanita di syarikat diterajui mereka

Pemakaian arahan “Wanita dalam Lembaga pengarah” itu menetapkan firma besar memastikan sekurang-kurangnya 40 peratus jawatan pengarah bukan eksekutif atau 33 peratus daripada semua jawatan pengarah di firma tersenarai awam itu disandang oleh wanita menjelang Jun 2026.

Menurut kenyataan itu lagi, merit itu mesti kekal sebagai kriteria utama dalam prosedur pemilihan, yang sepatutnya telus dan badan kehakiman boleh membatalkan lembaga pengarah jika ia didapati melanggar arahan baharu.

Perusahaan kecil dan sederhana dengan kurang daripada 250 pekerja bagaimanapun dikecualikan daripada peraturan itu.

Suruhanjaya Eropah membentangkan cadangan itu pada 2012, namun usaha itu disekat oleh Majlis Eropah selama hampir sedekad sehinggalah perunding mencapai kata sepakat pada Jun.

Pada 2021, hanya 30.6 peratus ahli lembaga pengarah dalam firma tersenarai awam terbesar EU terdiri daripada wanita.

Walaupun berlaku peningkatan dalam perwakilan di lembaga pengarah namun pada 2022, kurang daripada satu daripada 10 syarikat tersenarai terbesar di EU diketuai wanita atau CEO. – BERNAMA

Loading...
Terkini