TOKYO: Parti gabungan pemerintah Jepun kehilangan majoriti di Dewan Perwakilan dalam pilihan raya pada Ahad, meletakkan tekanan kepada Perdana Menteri Shigeru Ishiba untuk mendapatkan sokongan luar bagi menstabilkan kerajaan.
Walaupun menghadapi kekalahan, Ishiba menyatakan komitmennya untuk membentuk kerajaan baharu yang dipimpin oleh partinya.
Pihak pembangkang, yang terdiri daripada kumpulan liberal dan konservatif, turut menghadapi cabaran dalam membentuk gabungan disebabkan perbezaan matlamat dasar, lapor Kyodo News Agency.
Keputusan yang mengecewakan itu mencerminkan peningkatan ketidakpercayaan terhadap Parti Demokratik Liberal (LDP) yang sedang memerintah, didorong oleh skandal dana sulit, menunjukkan perubahan sokongan sejak ia kembali berkuasa pada 2012.
Ishiba, yang kelihatan muram, menyifatkan keputusan tersebut sebagai ‘sukar’.
“Kami jauh daripada mendapat kepercayaan rakyat berhubung skandal dana sulit,” kata Ishiba, walaupun beliau kekal optimis untuk meneruskan agenda gabungan tersebut.
Keputusannya untuk membubarkan Dewan Rendah hanya lapan hari selepas memegang jawatan pada 1 Oktober dan mengadakan pilihan raya ternyata membawa padah.
Masalah LDP bertambah buruk pada penghujung kempen apabila didedahkan bahawa 20 juta yen (RM572,881) telah diperuntukkan kepada cawangan tempatan yang diketuai oleh calon yang tidak disokong dan terlibat dalam skandal.
Pemimpin pembangkang dengan cepat mengecam parti pemerintah kerana menyokong calon-calon tersebut secara rahsia.
Ketua parti Komeito, Keiichi Ishii, yang baru memegang jawatan sebulan lalu, kehilangan kerusinya, menandakan kekalahan pertama bagi pemimpin Komeito sejak 2009.
Parti tersebut, yang disokong oleh pertubuhan Soka Gakkai berfahaman Buddha, melihat jumlah kerusinya menurun daripada 32 kepada sekitar 22.
Selain itu, gabungan pemerintah mungkin akan mempertimbangkan untuk mendapatkan sokongan dari Parti Demokratik untuk Rakyat, yang menambah jumlah kerusinya dari tujuh kepada lebih 30.
Namun, ketuanya, Yuichiro Tamaki, enggan menyertai gabungan tersebut. Parti Inovasi Jepun juga ragu-ragu untuk bekerjasama.
Jumlah pengundi yang keluar mengundi dianggarkan sebanyak 53.81 peratus, sedikit lebih rendah daripada pilihan raya 2021, dan berkemungkinan yang ketiga terendah dalam sejarah pasca perang.
Dalam pilihan raya kali ini, setiap pengundi mengundi dua kali, sekali untuk calon di kawasan berkerusi tunggal dan sekali lagi untuk parti dalam perwakilan berdasarkan peratusan pengundi. Keputusan akhir dijangka pada awal pagi Isnin.
Keputusan ini merupakan cabaran besar bagi Ishiba, yang bercita-cita untuk membina semula LDP menjelang pilihan raya Dewan Kaunselor musim panas depan.
Penganalisis percaya keputusan ini membuatkan peluang Ishiba untuk mencapai matlamat utama beliau mencadangkan reformasi Perlembagaan di Parlimen semakin tipis, yang memerlukan majoriti dua pertiga sebelum dibawa ke referendum nasional. – BERNAMA-KYODO
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.