comscore
Tumpuan :
Dunia

Parti Kebebasan mendahului Pilihan Raya Umum Austria

Ketua Parti Kebebasan, Herbert Kickl. FOTO: Reuters

VIENNA: Keputusan awal  pilihan raya parlimen Austria pada Ahad menunjukkan bahawa Parti Kebebasan (FPO) parti sayap kanan tampil sebagai pendahulu, meletakkan parti itu dalam kedudukan untuk kemenangan pertama dalam pilihan raya umum, lapor Xinhua memetik laporan media tempatan.

FPO dijangka memperoleh 29.1 peratus undi, jauh mengatasi Parti Rakyat (OVP) yang memerintah dengan 26.2 peratus sokongan untuk di kedudukan kedua, menurut unjuran yang diterbitkan oleh penyiar Austria ORF dan agensi berita APA sejurus selepas pengundian ditutup pada 5 petang waktu tempatan.

Ini merupakan peningkatan ketara bagi FPO berbanding pilihan raya umum 2019 apabila parti itu hanya memperoleh 16.2 peratus sokongan.

OVP bagaimanapun menerima tamparan hebat kerana menerima 37.5 peratus undi dalam pilihan raya sebelum ini.

Kemenangan bersejarah pada Ahad membuktikan kekuatan dan populariti FPO yang semakin meningkat, setelah memenangi lebih 25 peratus undi dalam pilihan raya Parlimen Eropah Austria pada Jun, menduduki tempat pertama dalam undian seluruh negara buat kali pertama.

Parti itu berjaya memanfaatkan kemarahan pengundi terhadap masalah ekonomi Austria yang berpanjangan, krisis migrasi dan sekatan COVID-19 dalam kempen pilihan rayanya.

“Pengundi telah bersuara dengan tegas,” kata pemimpin FPO Herbert Kickl di ORF selepas unjuran itu diumumkan.

Unjuran ORF/APA menunjukkan Parti Demokratik Sosial (SPO) berada di tempat ketiga dalam pilihan raya Ahad dengan 20.4 peratus undi, turun daripada 21.2 peratus pada pilihan raya 2019.

Parti Hijau turut mengalami kekalahan teruk selepas unjuran pertama menunjukkan sokongan yang diterima turun kepada 8.6 peratus berbanding 13.9 peratus pada 2019. Parti Hijau adalah sebahagian daripada kerajaan campuran dengan OVP.

Parti liberal NEOS dijangka bersaing rapat dengan Parti Hijau dengan 8.8 peratus undi, sedikit lebih baik berbanding prestasi pada pilihan raya sebelum ini.

Kira-kira 6.35 juta penduduk layak mengundi dalam pilihan raya umum Ahad di mana 183 anggota parlimen akan dipilih untuk Majlis Kebangsaan Austria, dewan rendah parlimen negara itu.

Tiada parti yang berjaya memperoleh majoriti mutlak dalam pilihan raya Ahad yang membuka pintu kepada rundingan pembentukan kerajaan.

Walaupun dengan kemenangan bersejarahnya, masih tidak pasti sama ada FPO akan dapat mencari rakan gabungan untuk memerintah.

Ini kerana sebelum pilihan raya, semua parti utama lain telah berulang kali menolak untuk menyertai kerajaan yang dipimpin oleh FPO.

Presiden Austria Alexander Van der Bellen turut menyuarakan keengganan untuk melantik Kickl sebagai pemimpin negara itu.

Berhubung pilihan gabungan, Kickl pada Ahad malam berkata: “Tangan kami terbuka ke semua arah.”

Bagaimanapun, Setiausaha Agung OVP, Christian Stocker pada Ahad malam  berkata bahawa partinya kekal menentang gabungan dengan FPO di bawah pimpinan Kickl.

Sementara itu, penganalisis berkata untuk menghalang Kickl daripada menjadi Canselor, OVP boleh bekerjasama dengan SPO dan parti ketiga, NEOS atau Parti Hijau untuk membentuk gabungan tiga parti yang belum pernah berlaku sebelum ini.

–BERNAMA-XINHUA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini