![](https://media.buletintv3.my/2024/12/WMJdgPDt-BULETIN-TV3-A-13.jpg)
SEOUL: Parti diwakili Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol, People Power Party (PPP), berikrar menentang usul memecat presiden difailkan ahli Palimen pembangkang semalam susulan kegagalannya dalam cubaan mengisytiharkan undang-undang tentera.
Langkah itu menimbulkan keraguan terhadap proses berkenaan, apabila ahli Parlimen dijangka mengundi rang undang-undang (RUU) terbabit pada pagi ini atau esok.
Dalam pada itu, Suk-yeol sudah menerima perletakan jawatan Menteri Pertahanan, Kim Yong-hyun, dan menamakan Duta Besar Korea Selatan ke Arab Saudi, Choi Byung-hyuk, sebagai pengganti, menurut laporan agensi berita Yonhap, Khamis.
![](https://media.buletintv3.my/2024/12/WkRde2tY-BULETIN-TV3-A-14.jpg)
Yong-hyun sebelum ini dilaporkan menasihatkan Suk-yeol untuk mengisytiharkan undang-undang tentera pada Selasa lalu, namun ditarik balik selepas Parlimen mengundi dan mendesak Suk-yeol membatalkan pengisytiharan itu.
Pelantikan Byung-hyuk sebagai Menteri Pertahanan baharu adalah langkah rasmi pertama oleh Suk-yeol selepas menarik balik perintah darurat itu pada awal pagi Rabu, di tengah-tengah krisis politik dan kesan diplomatik yang semakin meruncing.
PPP berdepan perpecahan akibat krisis itu, manakala parti pembangkang, Demokratik, yang menguasai majoriti di Parlimen pula memerlukan sokongan sekurang-kurangnya lapan wakil PPP bagi menyokong RUU berkenaan untuk diluluskan.
Pembangkang memerlukan majoriti dua pertiga untuk meluluskan RUU terbabit dan Mahkamah Perlembagaan kemudian akan memuktamadkan pengesahan keseluruhan proses yang mungkin berlarutan hingga 180 hari, jika ia diluluskan.
Perdana Menteri, Han Duck-soo akan mengambil alih sebagai pemimpin sementara, jika Suk Yeol digantung daripada menjalankan kuasanya, manakala pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari jika Presiden meletakkan jawatan atau dipecat.
Bercakap pada sesi Dewan Kebangsaan pagi semalam, wakil pembangkang, Kim Seung-won, berkata proklamasi undang-undang tentera darurat oleh rejim Suk Yeol menimbulkan kekeliruan dan ketakutan dalam kalangan rakyat.
“Rakyat dan pembantu menggunakan tubuh mereka untuk melindungi Parlimen. Rakyat memenangkan kita dan kini tiba masanya untuk kita melindungi mereka.
“Kita perlu segera menggantung kuasa Suk-yeol. Beliau sudah melakukan jenayah bersejarah yang tidak boleh dimaafkan dan rakyat kini perlu ditenangkan supaya mereka dapat kembali kepada kehidupan harian seperti sedia kala,” katanya.
Proklamasi pada Selasa lalu bertujuan mengharamkan aktiviti politik, selain menyekat media, dengan langkah mengejutkan itu menyebabkan perpecahan dalam kalangan Kabinet serta mencetuskan kekacauan selama enam jam.
![](https://media.buletintv3.my/2024/12/xfVBB6G7-BULETIN-TV3-A-15.jpg)
Namun, Suk-yeol kelmarin, menarik balik proklamasi terbabit selepas Ahli Parlimen menentang keputusan itu, selain ribuan penunjuk perasaan turun ke jalanan membantah tindakan itu.
Tiada seorang pun daripada 108 wakil kerajaan hadir ketika pembentangan usul pemecatan yang membuka jalan untuk pengundian diadakan dalam tempoh antara 24 hingga 72 jam berikutnya.
Pengundian menyusuli selepas malam penuh kekacauan apabila Suk-yeol mengisytiharkan undang-undang tentera dan mengerahkan pasukan bersenjata.
Pengundian pemecatan itu diadakan selepas malam penuh kekacauan apabila Suk-yeol mengisytiharkan undang-undang tentera dan pasukan bersenjata cuba memaksa masuk ke bangunan Dewan Kebangsaan di Seoul.
Namun, pasukan terbabit terpaksa berundur selepas pembantu Parlimen menyembur mereka dengan alat pemadam api. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.