comscore
Tumpuan :
Dunia

Pasukan penyelamat berdepan  kesukaran,  korban gempa bumi di Jepun meningkat kepada 30

Antara kemusnahan yang berlaku di Wajima, wilayah Ishikawa, susulan gempa bumi kuat di Jepun. – FOTO: Reuters

TOKYO: Ketika pasukan penyelamat bergelut untuk sampai ke kawasan terpencil di mana bangunan tumbang, jalan raya rosak dan bekalan elektrik terputus, korban gempa bumi di Jepun meningkat kepada 30 orang.

Gempa bumi dengan magnitud awal 7.6 melanda pada tengah tengah hari Isnin, mendorong penduduk di beberapa kawasan pantai melarikan diri ke kawasan lebih tinggi apabila ombak tsunami melanda pantai barat Jepun, membawa beberapa kereta dan rumah ke dalam laut.

Beribu-ribu anggota tentera, bomba dan pegawai polis dari seluruh negara dihantar ke kawasan yang paling teruk terjejas di Semenanjung Noto di wilayah Ishikawa.

Bagaimanapun, usaha menyelamat terhalang oleh jalan yang rosak teruk.

Susulan kejadian banyak perkhidmatan kereta api, feri dan penerbangan ke kawasan itu digantung.

Menurut laporan media tempatan, Lapangan terbang Noto ditutup kerana kerosakan pada landasan, terminal dan jalan masuknya, dengan 500 orang terkandas di dalam kereta di tempat letak kereta.

“Mencari dan menyelamat mereka yang terjejas oleh gempa bumi adalah pertempuran melawan masa,” kata Perdana Menteri Fumio Kishida semasa mesyuarat bencana tergempar hari ini.

Kishida berkata, penyelamat mendapati sukar untuk sampai ke hujung utara Semenanjung Noto kerana jalan raya yang rosak, dan tinjauan helikopter mendapati banyak kebakaran dan kerosakan yang meluas kepada bangunan dan infrastruktur.

Pihak berkuasa di Ishikawa berkata, mereka mengesahkan 30 kematian akibat gempa bumi setakat ini, dengan separuh daripada kematian itu di bandar Wajima yang dilanda teruk berhampiran pusat gempa.

Anggota bomba sedang memadamkan kebakaran di beberapa bandar dan cuba menyelamatkan lebih ramai orang yang terperangkap dalam bangunan runtuh, kata agensi pengurusan kebakaran dan bencana Jepun.

Lebih 140 gegaran turut dikesan sejak gempa pertama melanda pada Isnin, menurut Agensi Meteorologi Jepun.

Agensi itu memberi amaran lebih banyak gegaran akan berlaku  dalam beberapa hari mendatang.

Loading...
Terkini