comscore
Tumpuan :
Dunia

PBB gesa perjanjian bijirin Ukraine-Russia dilanjutkan

Sebelum pencerobohan Russia bermula Februari lalu, Ukraine muncul selaku pengeksport terbesar gandum dan minyak matahari. – FOTO : AFP

NEW YORK : Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggesa semua pihak mengambil segala usaha bagi melanjutkan perjanjian eksport bijirin Ukraine, termasuk memudahkan penghantaran bijirin Russia.

Perjanjian Laut Hitam yang ditandatangani pada Julai lalu oleh PBB, Ukraine, Russia dan Turkiye telah membenarkan lebih sembilan juta tan bijirin Ukraine dieksport.

Ia sekali gus mengurangkan krisis makanan global yang disebabkan oleh perang, walaupun ketidakpastian sama ada perjanjian akan bertahan telah pun membawa kepada kenaikan harga.

Kekeliruan itu datang daripada kenyataan Russia yang mendedahkan ketidakupayaan mereka untuk mengeksport bijirin dan baja sendiri sebagai sebahagian daripada perjanjian kedua.

Perjanjian awal ditetapkan selama 120 hari dengan pilihan untuk pembaharuan pada 19 November jika tiada pihak membantah, kata jurucakap Guterres, Stephane Dujarric semalam.

“Kami menggesa semua pihak untuk melakukan segala usaha untuk memperbaharui Inisiatif Bijirin Laut Hitam dan melaksanakan kedua-dua perjanjian sepenuhnya, termasuk penyingkiran segera sebarang halangan untuk eksport bijirin dan baja Russia,” katanya dalam satu kenyataan.

“Kami tidak memandang rendah cabaran, tetapi kami tahu ia boleh diatasi,” katanya.

“Kerajaan, syarikat perkapalan, peniaga bijirin dan baja serta petani di seluruh dunia kini mencari kejelasan mengenai masa depan,” tambah kenyataan itu.

Moscow mendakwa mereka tidak dapat menjual baja kerana sekatan Barat.

Duta Russia ke PBB, Vassily Nebenzia memberitahu pemberita pada Khamis bahawa eksport Russia mesti dibenarkan sebelum Moscow memberi komitmen untuk melanjutkan perjanjian itu.
“Saya sudah lama katakan (bahawa) halangan tetap sama,” katanya.

Awal minggu ini, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken meramalkan keputusan oleh Moscow untuk meninggalkan perjanjian bijirin akan disambut dengan “kemarahan besar” oleh negara-negara di seluruh dunia. – AFP

Loading...
Terkini