HAMILTON: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin mendesak Israel untuk membenarkan akses kemanusiaan ke Utara Gaza, menekankan keperluan mendesak di kawasan itu, lapor Agensi Anadolu memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA).
“Akses ke wilayah Utara Gaza masih sangat terhad. Sepanjang hujung minggu, PBB tidak dapat memasuki kawasan terbabit,” kata jurucakap PBB Stephane Dujarric dalam satu sidang media.
Sambil menyuarakan kebimbangan terhadap nasib rakyat Palestin yang masih berada di utara Gaza, jurucakap itu menegaskan bahawa PBB mendesak Israel untuk membuka kawasan berkenaan bagi operasi kemanusiaan pada skala yang diperlukan.
Dujarric turut berkongsi laporan baharu OCHA bahawa pada Oktober, organisasi kemanusiaan mengemukakan 50 permohonan kepada pihak berkuasa Israel untuk memasuki wilayah terbabit, namun 33 permohonan ditolak secara langsung, manakala lapan diterima pada mulanya tetapi kemudian menghadapi halangan.
“Percubaan untuk menyelaras pemindahan seorang kakitangan PBB yang cedera dari kawasan Jabalia juga ditolak, dengan pihak berkuasa Israel mencadangkan supaya individu itu boleh cuba dibawa keluar dengan berjalan kaki oleh ahli keluarga yang melambaikan bendera putih sebagai tanda pengenalan,” katanya.
Dujarric juga berkata bahawa 85 peratus daripada pergerakan yang diselaraskan ke utara melalui pusat pemeriksaan Wadi Gaza ditolak atau dihalang oleh Israel.
Israel terus melancarkan serangan hebat ke atas Gaza, meskipun terdapat resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menuntut gencatan senjata segera.
Sejak itu, lebih 43,600 orang terkorban, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 102,900 yang lain cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas tindakannya di wilayah terkepung itu. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.