comscore
Tumpuan :
Dunia

Pekerja kilang tembaga terbesar dunia mogok 3 hari

Suasana di dalam lombong tembaga. – Foto REUTERS

SANTIAGO: Pekerja di lombong tembaga terbesar dunia di utara Chile semalam mengumumkan akan mogok selama tiga hari berturut-turut minggu depan sebagai protes kepada ‘isu keselamatan serius’ di Lombong Escondida.

Menurut Kesatuan Lombong Escondida, lebih 2,400 pelombong dijangka terbabit dengan mogok dari Isnin hingga Rabu.

“Keputusan itu disebabkan ‘isu keselamatan serius’ seperti tiga kebakaran, di mana kami boleh mengesahkan syarikat tidak menerima pakai langkah pencegahan dan keselamatan yang diperlukan,” menurut kenyataan itu.

Chile, melalui Escondida dimiliki oleh syarikat gergasi BHP, Anglo-Australia, adalah pengeluar tembaga terbesar dunia dengan pengeluaran tahunan sebanyak 5.6 juta tan, hampir satu pertiga daripada keseluruhan keluaran global.

Pada 2017, pekerja lombong itu pernah mogok selama 44 hari, suatu rekod paling lama dalam sejarah perlombongan Chile, mengakibatkan BHP kehilangan AS$740 juta (RM3.35 bilion), menyumbang kepada penurunan 1.3 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Mogok pada Ogos 2021 dapat dielakkan dengan pemeteraian perjanjian kolektif baharu, seperti dilaporkan media tempatan, setiap pekerja memperoleh hampir $27,000 (RM122,000) seorang sebagai bonus untuk bekerja ketika pandemik COVID-19 tahun lalu.

Escondida adalah lombong terbuka yang terletak di Antofagusta, menghasilkan hampir 1.1 juta tan tembaga setahun.

Pekerja mendakwa kes baru-baru ini mendedahkan mereka kepada ‘risiko serius’ selain turut mengatakan BHP melakukan amalan anti-kesatuan dan ‘pelanggaran hak asasi’.

Pihak kesatuan juga mengadu bahawa syarikat tidak mengendahkan atau enggan mencari penyelesaian terhadap aduan yang dibuat oleh mereka. – AFP

Loading...
Terkini