comscore
Tumpuan :
Dunia

Pelajar bersalin sewaktu menduduki peperiksaan

JAWA TIMUR: Seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di daerah Sampang bersalin ketika sedang menduduki peperiksaan Khamis lalu.

Bagaimanapun, guru yang mengawasi peperiksaan, Muhammad Nurchalid, menjelaskan tiada sebarang tanda yang mencurigakan sebelum peperiksaan itu bermula.

Kompas melaporkan, guru itu memaklumkan pelajar terbabit langsung tidak kelihatan panik ketika masuk ke bilik peperiksaan.

“Saya menjaga peperiksaan pada jam kedua, suasana dalam bilik peperiksaan ketika itu juga normal,” kata Nurchalid ketika ditemui pada Jumaat.

Bagaimanapun, selepas beberapa minit pelajar mula menduduki peperiksaan, tiba-tiba kelas yang pada mulanya sunyi menjadi bising.

Nurchalid cuba menenangkan keadaan dan meminta pelajar memberi tumpuan kepada peperiksaan.

Bagaimanapun, dia terdengar suara bayi dan membuat pemeriksaan sebelum mendapati seorang daripada pelajarnya melahirkan anak.

Ketika itu, pelajar lain mula keluar dari kelas.

“Pelajar terbabit pula dilihat duduk sambil memegang bayinya,” katanya.

Dia kemudian cuba menghubungi seorang guru perempuan supaya dapat membantu pelajar berkenaan.

Katanya, dia turut melihat darah di atas lantai.

“Kebetulan seorang guru mengenali pegawai di Pusat Kesihatan Komuning dan pelajar berkenaan dibawa ke pusat kesihatan itu dengan ambulans.

“Setibanya di pusat kesihatan, bayi berkenaan disahkan berada dalam keadaan sihat dan dibawa pulang oleh keluarga pelajar terbabit,” katanya.

Bagaimanapun, pelajar berkenaan dirujuk ke Hospital Wilayah Dr Mohammad Zyn kerana keadaannya membimbangkan.

“Kami mengiringi pelajar perempuan terbabit. Alhamdulillah dia bertambah baik,” katanya.

Loading...
Terkini