
Oleh: Aslina Abu Bakar
MARRAKESH: Kumpulan mahasiswa Malaysia di Magribi saling berhubung dan memaklumkan lokasi keberadaan masing-masing demi memastikan keselamatan mereka.
Presiden Persatuan Mahasiswa Malaysia Maghribi, Muhammad Afiq Badrul Hisham ketika dihubungi Buletin TV3 berkata tujuh daripada sembilan orang pelajar di Marrakesh berada di luar kawasan kejadian ketika gempa bumi kuat melanda Magribi.

“Ketika kejadian pihak kami telahpun meminta semua ahli melaporkan perkembangan terkini dan keberadaan masing-masing .
“Ketika kejadian, saya berada di Casablanca, dan sebaik tiba di rumah inap di sana saya baru mendapat maklumat berlaku gegaran teruk dan banyak bangunan musnah di Marrakesh.
“Jadi saya terus menghubungi pelajar yang berada di Marrakesh, untuk bertanya keadaan mereka, Alhamdulillah semua berada dalam keadaan selamat cuma mereka sedikit panik disebabkan kejadian itu,” katanya.
Tambahnya lagi, pihaknya juga menerima maklum balas daripada pihak kedutaan dan Education Malaysia Egypt untuk mengemaskini perkembangan ke semua pelajar.
Malah, kedutaan telah pun mengeluarkan arahan dan nasihat kepada pelajar untuk sentiasa mengikuti segala arahan yang dikeluarkan kerajaan Maghribi.

Muhammad Afiq yang juga pelajar jurusan Pengajian Islam di Universiti Rabat berkata buat masa ini ke semua pelajar sedang cuti semesta dan sesi pengajian di universiti dijangka dibuka 18 September ini.
Sementara itu, rakyat Malaysia yang menetap di Tamansourt, Marrakech, Syed Anis Almashoor Syed Sheikh Almansor ketika dihubungi berkata, ketika kejadian dia dapat merasai gegaran selama 20 saat.
“Sewaktu gempa, saya bersama rombongan dalam perjalanan pulang ke Marrakech dari Tangiers berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (RNR) 70 kilometer dari Marrakesh.
“Disebabkan gegaran dirasai agak lama, kami mengambil keputusan untuk duduk di tempat yang lapang,” katanya.
Menurutnya, sekitar jam 4 petang waktu Malaysia, ketika berada di apartmen abang iparnya, berlaku sekali lagi gegaran kecil dengan kekuatan 4.5 skala richter kira kira satu ke dua saat.