JAKARTA: Kementerian Luar Indonesia sedang berusaha membantu warganya di Malaysia membatalkan hukuman mati berikutan pemansuhan hukuman mati mandatori oleh Malaysia, menurut Pejabat Staf Presiden (KSP), lapor agensi berita ANTARA.
Dalam satu kenyataan yang diterima di sini pada Jumaat, kakitangan KSP Siti Ruhaini Dzuhayatin berkata tindakan segera kementerian itu adalah satu bentuk pelaksanaan mandat presiden untuk melindungi rakyat.
“Presiden sentiasa menekankan bahawa negara mesti hadir untuk melindungi rakyat Indonesia, baik di dalam mahupun luar negara,” katanya.
Beliau berkata pemansuhan hukuman mati mandatori oleh Malaysia mempunyai kesan retroaktif.Ini akan membolehkan Kementerian Luar membantu warganya yang terlibat dalam kes dadah kerana kejahilan atau paksaan, atau selepas menjadi mangsa pemerdagangan manusia, jelasnya.
Bagaimanapun, ini bergantung kepada kes mereka, tambahnya.
Beliau mengingatkan bahawa keputusan untuk membantu membatalkan hukuman mati bagi warga Indonesia di Malaysia tidak bermakna kerajaan Indonesia akan mengambil alih kes mereka.
Bagaimanapun, kerajaan Indonesia bertanggungjawab membantu memastikan prosiding kehakiman yang adil dan saksama.
“Amalan baik ini adalah langkah konkrit komitmen Presiden Joko Widodo dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam meningkatkan kerjasama dalam melindungi pekerja Indonesia di Malaysia,” kata Dzuhayatin. – BERNAMA-ANTARA