comscore
Tumpuan :
Dunia

Pemantauan sekatan PBB ke atas Korea Utara tamat, menerusi kuasa veto Rusia

FOTO: Reuters

NEW YORK: Russia semalam menyekat pembaharuan panel pakar Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) yang memantau sekatan antarabangsa ke atas Korea Utara.

Veto itu dilakukan beberapa minggu selepas PBB memberitahu ia sedang menyiasat laporan pemindahan senjata antara Moscow dan Pyongyang.

Tindakan itu mendapat pelbagai kritikan, termasuk Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba, yang menggelar kuasa veto sebagai “pengakuan bersalah” di tengah-tengah dakwaan bahawa Pyongyang membantu Moscow dalam perangnya menentang Kyiv.

Amerika Syarikat (AS) menggelar veto oleh Rusia sebagai usaha mementingkan diri untuk menguburkan laporan panel mengenai pakatan sulitnya dengan Korea Utara.

Jurucakap Jabatan Negara, Matthew Miller berkata, tindakan Russia itu menjejaskan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Veto Moscow di Majlis Keselamatan tidak menghapuskan sekatan ke atas Korea Utara, namun menamatkan tugas kumpulan pemantauan pelaksanaan dan pelbagai dakwaan pelanggaran.

Mandat panel akan tamat pada akhir April ini.

Korea Utara berada di bawah sekatan sejak 2006, yang dilaksanakan oleh Majlis Keselamatan PBB sebagai tindak balas kepada program nuklearnya.

Sejak 2019, Russia dan China cuba memujuk Majlis Keselamatan untuk mengurangkan sekatan, yang tidak mempunyai tarikh tamat tempoh.

China berkecuali daripada menyertai Rusia dalam veto. Semua ahli lain mengundi menyokong memperbaharui panel pakar. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini