
BERLIN : Serangan terhadap kitab suci umat Islam dilihat sebagai usaha pihak tertentu untuk mewujudkan perpecahan.
Menurut Timbalan Jurucakap Kerajaan Jerman Christiane Hoffmann, tindakan itu juga dianggap tidak sopan dan tidak wajar sama sekali.
Hoffmann menjawab persoalan yang dikemukakan agensi media Turkiye berkata, kerajaan Jerman menentang dan mengutuk tindakan biadab itu.
Jerman katanya, mementingkan nilai yang tinggi kepada kebebasan, namun tidak meliputi ucapan atau tindakan kebencian.
Beliau turut menggariskan bahawa pendirian Berlin mengenai penodaan al-Quran adalah jelas.
Namun beliau enggan mengesahkan sama ada Canselor Jerman, Olaf Scholz dan Perdana Menteri, Denmark Mette Frederiksen akan membincangkan perkara itu dalam mesyuarat akan datang.
Tindakan provokasi membakar dan menghina al-Quran oleh individu atau kumpulan Islamofobia, terutamanya di negara-negara Eropah utara dan Nordic meningkat sejak beberapa bulan lalu.
Pihak berkuasa di negara-negara terbabit juga berdepan kritikan kerana gagal bertindak untuk menghalangnya.
Tindakan itu sekali gus mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia. – BERNAMA-ANADOLU