comscore
Tumpuan :
Dunia

Pemberian Vaksin COVID-19 Secara Sedutan Dimulakan Di China

FOTO: CCTV

BEIJING: Bandaraya Shanghai di China memulakan pemberian vaksin COVID-19 secara sedutan hari ini, dipercayai vaksin pertama seumpamanya di dunia.

Berdasarkan pengumuman di media sosial rasmi bandar itu, vaksin COVID-19 dalam bentuk semburan yang disedut melalui mulut itu, diberikan secara percuma sebagai dos penggalak.

Vaksin bebas jarum itu dilihat dapat menarik individu yang enggan menerima vaksin melalui suntikan, selain membantu memperluaskan vaksinasi di negara miskin kerana ia lebih mudah diberikan.

China tidak mewajibkan pengambilan vaksin, namun mahu lebih ramai individu tampil mendapatkan dos penggalak sebelum melonggarkan sekatan ketat pandemik yang menjejaskan ekonomi dan berlawanan dengan tindakan dilakukan di seluruh dunia.

Sementara itu, seorang pakar berpandangan, pengambilan vaksin menerusi mulut boleh menghalang virus daripada masuk ke sistem pernafasan lain, namun ia bergantung pada saiz rembesan vaksin.

Pakar imunologi di India, Dr Vineeta Bal berkata, rembesan yang lebih besar akan melatih sistem pertahanan di mulut dan tekak, manakala rembesan kecil akan terus masuk ke bahagian tubuh badan.

Vaksin sedutan yang dibangunkan oleh Cansino Biologics Inc itu adalah sama dengan vaksin adenovirus satu dos dalam bentuk suntikan yang dibangunkan syarikat biofarmaseutikal China itu.

Ia diluluskan untuk digunakan sebagai dos penggalak pada bulan lalu.

Menurut Cansino, vaksin secara sedutan itu sudah selesai melalui ujian klinikal di China, Hungary, Pakistan, Malaysia, Argentina dan Mexico.

Loading...
Terkini