comscore
Tumpuan :
Dunia

Pembunuh bersiri kanak-kanak didapati bersalah atas satu lagi pertuduhan

FOTO: Reuters

LONDON: Pembunuh bersiri kanak-kanak, Lucy Letby didapati bersalah terhadap satu lagi pertuduhan iaitu cubaan membunuh seorang lagi bayi perempuan di unit neonatal hospital di mana wanita ini bekerja.

Ia berlaku hampir setahun selepas juri berbeza mensabitkan bekas jururawat itu membunuh tujuh bayi yang baru lahir dan cuba membunuh enam yang lain, menjadikan dia pembunuh bersiri kanak-kanak paling prolifik dalam sejarah moden Britain.

Letby, 34, menghadapi perbicaraan semula di Mahkamah Mahkota Manchester kerana cubaan membunuh bayi perempuan itu yang dirujuk di mahkamah sebagai Kanak-kanak K, di Hospital Countess of Chester di barat laut England pada 2016.

Juri pada perbicaraan asalnya tahun lepas gagal mencapai keputusan atas pertuduhan itu.

Bagaimanapun, juri yang mendengar kes kali ini mengambil masa lebih tiga jam untuk sebulat suara dalam mendapati Letby bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Letby, yang sudah menjalani hukuman penjara seumur hidup dan awal tahun ini, gagal dalam rayuan terhadap sabitan kes terdahulu.

Untuk kes baharu ini, mahkamah akan menetapkan hukuman pada Jumaat.

Semasa perbicaraan semula, juri mendengar keterangan bahawa bekas jururawat itu ditangkap perunding kanan ketika dia memindahkan tiub pernafasan kanak-kanak bernama K.

Pihak pendakwaan memperincikan bagaimana pakar perunding pediatrik masuk ke bilik taska penjagaan rapi unit dan melihat Letby berdiri di sebelah inkubator tidak melakukan apa-apa ketika paras oksigen darah bayi itu menurun.

Juri juga diberitahu tentang sabitan Letby pada Ogos lalu terhadap pembunuhan lain dan cubaan membunuh antara 2015 dan 2016.

Sekatan pelaporan menghalang penerbitan identiti kanak-kanak yang masih hidup dan meninggal dunia dalam kes berkenaan.

Letby, dari Hereford, barat England, sebelum ini ditangkap dan kemudian didakwa pada 2020 berikutan rentetan kematian bayi di unit neonatal hospital itu. – Agensi

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini