comscore
Tumpuan :
Dunia

Pemindahan kedutaan AS hanya tingkatkan konflik Palestin-Israel – Pakar

Foto: Reuters

RAMALLAH: Lima tahun selepas Amerika Syarikat memindahkan kedutaannya di Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, konflik antara Palestin dan Israel semakin memburuk, menurut penganalisis politik Palestin.

Dalam wawancara berasingan dengan Xinhua, Abdul Majid Sowailim dan Khalil Shaheen, dua penganalisis politik yang berpangkalan di Ramallah, berkata keputusan “kontroversial” oleh bekas Presiden AS Donald Trump hanya memburukkan lagi keadaan.

Ekoran itu, Israel meningkatkan pencabulan mereka terhadap Palestin, termasuk mempercepatkan aktiviti penempatan dan mempergiatkan operasi terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat, menurut penganalisis.

Sowailim menuduh AS “menjadi sebahagian daripada krisis politik antara Palestin dan Israel kerana berat sebelah dan provokatif terhadap pendudukan Israel.”

Sambil berkata Joe Biden tidak mengubah sebarang “keputusan kontroversi yang dikeluarkan oleh Trump,” Sowailim mengecam Washington kerana melindungi Israel daripada sebarang hukuman atau tuduhan antarabangsa apabila ia disabitkan jenayah dan melanggar undang-undang antarabangsa.

Sowailim menyuarakan pendapat yang sama dengan Shaheen, sambil berkata: “Sejak AS memindahkan kedutaannya ke Baitulmaqdis, rakyat Palestin tidak lagi menaruh kepercayaan atau harapan kepada rakyat Amerika.”

Demi mencari penyelesaian muktamad bagi konflik dengan Israel, kedua-dua penganalisis itu menyeru kepimpinan Palestin untuk mengambil pengajaran daripada pengalaman masa lalu dan beralih kepada kuasa lain yang boleh memajukan rundingan damai Palestin-Israel, untuk menamatkan konflik berdasarkan hak asasi manusia.

Dalam perang Timur Tengah 1967, Israel menduduki Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, yang dituntut oleh Palestin.

Masyarakat antarabangsa menganggap, penubuhan penempatan Israel di wilayah yang diduduki sebagai haram. – BERNAMA-XINHUA

Loading...
Terkini