comscore
Tumpuan :
Dunia

Penampilan umum kali kedua beri bayangan anak perempuan bakal ganti Kim Jong Un

FOTO: AP

Seoul: Anak perempuan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un membuat penampilan umum sekali lagi, kali ini dengan saintis peluru berpandu.

Gelaran lebih terhormat sebagai anak “paling disayangi” atau “berharga” turut diberikan bapanya.

Kanak-kanak perempuan itu baru berusia kira-kira 10 tahun, tetapi foto baharunya menguatkan perdebatan sama ada dia diutamakan sebagai pengganti.

Anak perempuan itu, dipercayai anak kedua Kim bernama Ju Ae dan berusia kira-kira 9 atau 10 tahun, pertama kali didedahkan kepada dunia luar hujung minggu lalu.

Agensi Berita Pusat Korea Utara (KCNA) menyebutnya buat kali kedua, mengatakan dia dan Kim mengambil gambar berkumpulan dengan saintis, pegawai dan lain-lain yang terlibat dalam pelancaran ujian ICBM Hwasong-17.

Gambar-gambar yang disiarkan media kerajaan menunjukkan anak perempuan itu berkot hitam panjang memegang lengan bapanya ketika kedua-duanya bergambar.

Ibunya Ri Sol Ju, tidak kelihatan dalam mana-mana gambar.

Selepas penampilan pertamanya di khalayak ramai, perkhidmatan perisik Korea Selatan memberitahu penggubal undang-undang bahawa ia menilai gadis yang digambarkan adalah anak kedua Kim, yang berusia kira-kira 10 tahun dan namanya Ju Ae.

Media Korea Selatan sebelum ini membuat spekulasi Kim mempunyai tiga anak — dilahirkan pada 2010, 2013 dan 2017 — dan anak pertama ialah seorang lelaki manakala yang ketiga ialah seorang perempuan.

Korea Utara tidak menyebut tentang dua lagi anak Kim tetapi spekulasi bahawa anak sulungnya adalah seorang lelaki telah menyebabkan beberapa pakar mempersoalkan bagaimana seorang anak perempuan boleh menjadi pengganti Kim memandangkan sifat patriarki didominasi lelaki yang mendalam dalam masyarakat Korea Utara.

Kim ialah ahli keluarga generasi ketiga yang telah mengendalikan Korea Utara selama lebih tujuh dekad, dan bapa serta datuknya mentadbir negara itu secara berturut-turut sebelum dia mewarisi kuasa pada akhir 2011. – AGENSI

Loading...
Terkini