comscore
Tumpuan :
Dunia

Pengarah hospital disiasat, terima habuan hampir RM40,000 jual sijil kelahiran

Foto hiasan

HONG KONG: Jabatan Obstetrik dan Ginekologi sebuah hospital di wilayah Hubei, China terpaksa menangguhkan operasi susulan Pengarahnya disiasat kerana menjual sijil kelahiran.

Bagaimanapun, sehingga kini tidak dapat dikenal pasti siapa pengarah berkenaan seperti dilaporkan media kerajaan di sini.

Kes itu menerima pelbagai reaksi pengguna media sosial China yang mendakwa sijil kelahiran itu mungkin digunakan untuk mendaftarkan kanak-kanak yang diculik sekali gus menghalang mereka daripada ditemui, lapor Global Times.

Reaksi lain yang diterima adalah berkemungkinan sijil lahir itu digunakan sebagai pilihan untuk mendaftarkan anak tumpang kerana kegiatan ibu tumpang adalah tidak sah di China.

Kegiatan yang dilakukan oleh pengarah itu membolehkannya menerima kira-kira 60,000 yuan (RM38,520) bagi setiap sijil.

Tinjauan di laman sesawang rasmi hospital itu mendapati ia sedang diselenggara dan tiada nombor yang boleh dihubungi dalam senarai yang dipaparkan dalam akaun rasmi WeChat.

Kelmarin, Suruhanjaya Kesihatan Xiangyang, menghantar pasukan khas ke Hospital Jianqiao selepas dimaklumkan mengenai kes itu.

Kemas kini lanjut akan diberikan berdasarkan hasil siasatan penuh, katanya.

Sijil kelahiran diperlukan di China bagi mendapatkan pendaftaran isi rumah ketika pemberian vaksinasi, pendaftaran insurans perubatan dan permohonan untuk kad keselamatan sosial.

Kes itu berlaku apabila kadar kelahiran jatuh di China ke tahap terendah sejak rekod bermula pada 1949 iaitu hanya 9.56 juta kelahiran tahun lalu.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini